Program ini adalah merupakan pilot program kempen kesedaran Langkawi Geopark yang juga merupakan salah satu usaha Bahagian Geopark LADA dalam memberi kesedaran mengenai Langkawi Geopark kepada masyarakat. Menyedari kepentingan ilmu mengenai Geopark kepada generasi pemimpin masa hadapan, kempen kesedaran ini telah difokuskan kepada golongan pelajar bermula tahun 2010 lagi. Sejak itu, pelbagai program telah dianjurkan termasuklah program ‘Geopark to School’ dan ‘School to Geopark’.
Selain itu, beberapa modul kempen kesedaran yang lebih sistematik dan terancang juga telah dirangka. Modul kesedaran Geopark Camp ini adalah merupakan program lanjutan daripada beberapa siri perbincangan diantara pihak LADA bersama pihak UKM, UPM,FRIM dan Institut Biodiversiti, Lanchang Pahang (IBD). Sebanyak lapan modul khas untuk pelajar sekolah disediakan yang berkonsepkan perkhemahan 3 hari 2 malam bermula pada 25 MAC sehingga 27 Mac 2011. Objektif utama program ini adalah untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada golongan pelajar dan guru mengenai Langkawi Geopark.
Turut sama dalam program berkenaan ialah Ketua Penolong Pengurus Bahagian Geopark LADA, Tuan Haji Hapiz Bin Abd. Manap serta beberapa orang wakil dari UKM yang terdiri daripada profesor dan pensyarah. Hapiz berkata, beliau percaya program seperti ini bukan sahaja mampu meningkatkan pengetahuan kepada peserta malah mampu membina ‘nilai sepunya’ dalam diri masing-masing mengenai kepentingan pemuliharaan warisan dan pembangunan lestari.























