Aktiviti ini adalah merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi semua peserta semasa mereka berada di Langkawi bagi Persediaan Persidangan “5th Annual Event of the Attorney General’s Chambers of Brunei Darussalam, Malaysia, and Singapore (AEAGC) 2011”.
Malaysia dipilih menjadi tuan rumah pada AEAGC 2011, dan Langkawi telah menjadi lokasi pilihan bagi mesyuarat persediaan AEAGC tersebut. AEAGC kali ini juga telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Malaysia. Program yang bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari itu diikuti kenduri kampung yang bertujuan menjalinkan ikatan mesra serta menampilkan budaya masyarakat Malaysia yang gemar berkerjasama dalam melaksanakan sesuatu aktiviti. Turut sama dalam program gotong-royong berkenaan ialah Y. Bhg. Tan Sri Gani Patail, Peguam Negara Malaysia serta Pengurus Undang-undang LADA, Puan Nor Siah Bt Hj. Baharin dan Ketua Penolong Pengurus Geopark, Encik Hj. Hapiz Bin Abd. Manap yang juga selaku pengerusi jawatankuasa penyelaras gotong-royong berkenaan.
Objektif program ini adalah merupakan salah satu usaha bagi menjalinkan ikatan mesra di antara semua peguam dari tiga negara berbeza dan masyarakat tempatan. LADA sebagai pihak penganjur percaya program seperti ini mampu memberi kesan yang mendalam kepada semua peserta apatah lagi peserta-peserta ini terdiri dari tiga buah negara yang berbeza budaya, pendapat dan ideologi. Pengalaman yang diterima di Langkawi amnya dan Malaysia khususnya tentu akan menjadi buah mulut atau cerita apabila mereka pulang ke negara masing-masing kelak. Justeru, kerjasama serta hubungan yang telah wujud di antara kedua belah pihak juga mampu meningkatkan kualiti dan sistem komunikasi negara-negara terbabit.
Kampung Kilim dipilih selaku lokasi program gotong-royong berikutan letaknya di laluan utama pelancong dan sering dikunjungi pelancong tempatan dan asing untuk ke salah satu tapak warisan Geopark iaitu, Kilim Geoforest Park. Selain membersihkan kawasan kampung, penduduk turut mengecat surau, tandas dan jeti Kilim. Turut tidak ketinggalan, acara menanam 3 jenis Pokok Menpari Laut atau Pongamia Pinnata yang melambangkan 3 buah negara turut ditanam oleh Peguam Negara Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura. Program tamat sekitar jam 12.30 tengahari.





























