Print

Geopark

 

Apa itu Geopark?

Geopark merujuk kepada sesuatu kawasan yang terdapat tapak warisan geologi yang boleh digunakan oleh semua pihak bagi tujuan pemeliharaan, pendidikan dan pembangunan secara lestari/mapan.

Adalah penting bagi sesebuah geopark mempunyai unsur-unsur ekologi, arkeologi, sejarah dan budaya. Kehidupan di dalam sesebuah masyarakat tidak boleh dipisahkan dengan alam semulajadi, budaya dan sejarah sosialnya. Hubungan di antara kehidupan, kepelbagaian geologi dan biologi serta budaya, merupakan komponen penting bagi setiap Geopark.

Konsep Geopark

Konsep Geopark yang diwujudkan amat mementingkan pembangunan sesebuah kawasan secara lestari. Elemen pembangunan ini dalam konsep geopark merangkumi pemuliharaan alam semulajadi, pemuliharaan geowarisan seperti monumen dan geotapak, satu pembangunan yang dilakukan secara terancang sekitar kawasan sekeliling yang dilaksanakan secara mapan.

Di mana Langkawi UNESCO Global Geopark?

Langkawi UNESCO Global Geopark meliputi keseluruhan Langkawi. Kesemua 99 pulau, setiap tunggul batu yang terserlah di muka laut, segenap hutan belantara dan setiap pelosok kampung dan desa berada dalam Langkawi UNESCO Global Geopark.

Pembangunan Geopark

Pembangunan Geopark adalah berdasarkan :

1. Pemuliharaan Warisan

  • Pemuliharaan biologi, geologi dan budaya

2. Pembangunan Ekonomi

  • Geo pelancongan sebagai pelancongan berasaskan pengetahuan
  • Inovasi produk pelancongan

3. Pembangunan Komuniti

  • Komuniti sebagai peneraju
  • Keupayaan pembangunan komuniti setempat
  • Pendidikan berasaskan warisan
  • Pengukuhan nilai perkongsian

Kronologi Pembangunan Langkawi Global Geopark

  • 1970 - Penyelidikan kajian warisan geologi Langkawi oleh pihak universiti
  • 1987 - Pengisytiharaan Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai
  • 1990 - Penubuhan Lembaga Pembangunan Langkawi
  • 2001 - Cadangan Langkawi sebagai geopark kepada Kerajaan Negeri Kedah
  • 2006 - Penubuhan Langkawi Geopark oleh Kerajaan Negeri Kedah
  • 2007 - Langkawi Geopark diiktiraf di dalam Jaringan Antarabangsa Geopark ( GGN )
  • 2011 - Pengiktirafan Langkawi Global Geopark kali kedua oleh UNESCO bagi tempoh empat tahun mulai 2012 hingga 2015
  • 2011 - Pelancaran Blueprint Pelancongan Langkawi dan pemerkasaan Langkawi Global Geopark di bawah Inisiatif Ikonik Geopark
  • 2012 - Penjenamaan baru Langkawi sebagai Naturally Langkawi
  • 2015 - Penilaian semula Langkawi Global Geopark kali kedua oleh UNESCO
  • Bagaimana Timbul ilham Langkawi UNESCO Global Geopark?

    Langkawi telah dikaji oleh para akademik dan pencinta alam sejak lebih 35 tahun. Data dan maklumat biodiversiti (flora dan fauna) darat dan laut boleh dikatakan cukup lumayan. Maklumat geologi Langkawi juga meluas dan komprehensif. Sudah terdapat lebih 90 tapak kajian geologi atau geosites yang didaftarkan. LADA dan UKM telah menjalin kerjasama melalui Perjanjian Persefahaman (MOU) sejak tahun 1996. Ahli geologi mengesahkan geologi Langkawi adalah unik dan unggul dan mempunyai nilai warisan yang tinggi. LADA dan UKM sepakat untuk mengetengahkan Langkawi UNESCO Global Geopark untuk tujuan akademik dan yakin akan potensinya untuk menarik minat para pelancong.

    Sejak bilakah Langkawi UNESCO Global Geopark wujud?

    Langkawi UNESCO Global Geopark wujud pada 31 Mei 2006, setelah Kerajaan negeri Kedah mendengar taklimat dan pembentangan oleh LADA-UKM dan bersetuju mengenainya. Jemaah Pengarah LADA yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri/Menteri Kewangan mengiktiraf Langkawi UNESCO Global Geopark pada 6 Oktober 2006 dalam Mesyuarat Jemaah Pengarah LADA Bil2/2006 di Putrajaya.

    Apa kaitan dengan UNESCO?

    UNESCO (badan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkaitan Pendidikan dan Sosial) merupakan sebuah badan antarabangsa yang berwibawa dan dikenali masyarakat dunia. Pengiktirafan Langkawi UNESCO Global Geopark di dalam senarai geopark dunia di bawah UNESCO secara langsung menjadikan Langkawi UNESCO Global Geopark terkenal dan membuka ruang pertukaran maklumat dan kerjasama di kalangan geopark-geopark dunia di negara-negara lain

    Konsep Geoforest Park

    Konsep ini diperkenalkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang merupakan satu bentuk pemuliharaan yang menggabungkan unsur hutan dan geologi (batuan). Konsep ini adalah unik dan pertama kali digunapakai di dunia untuk tujuan pemuliharaan. Terdapat 3 kawasan utama Geoforest Park iaitu Machinchang Cambrian Geoforest Park, Kilim Karst Geoforest Park dan Dayang Bunting Marble Geoforest Park.

    Apa yang menarik di Langkawi UNESCO Global Geopark?

    Pelbagai jenis batu dan formasi batu (geologi). Pelbagai jenis hidupan liar dan tumbuhan (biodiversiti-flora dan fauna, laut dan darat). Pemandangan laut dan pantai yang cantik dan mempersonakan. Terdapat tiga Taman Georimba di dalamnya. Pertama, Machinchang Geoforest Park merupakan kawasan kambria (450-550 juta tahun), batu tertua dan bukti sejarah asal usul bumi Malaysia dan Asia Tenggara.Geoforest Park Kilim memaparkan landskap karst (batu kapur) yang unik dan antara yang terindah di dunia, terbentuk daripada proses hakisan dan cuaca. Geoforest Park Dayang Bunting Marble mengetengahkan marmar antara yang terbaik di dunia. Tasik Dayang Bunting terbentuk daripada sebuah gua.

    Apa istimewa Langkawi UNESCO Global Geopark?

    Langkawi ada segala-galanya untuk menjadi sebuah Geopark yang ternama di dunia:

    • Pertama di dunia, terdapat sebuah geopark berstatus pulau bebas cukai.
    • Pertama di dunia, terdapat sebuah geopark meliputi gugusan 99 buah pulau.
    • Pusat bermula pembentukan Malaysia dan Asia Tenggara, 550 juta tahun dahulu - Cambria Machinchang.
    • Alam semula jadi yang lengkap, meliputi geologi dan biodiversiti unik dan unggul
    • Sudah terdapat kawasan hutan simpan di kawasan-kawasan tertentu dalam geopark yang mengutamakan pemuliharaan.
    • Terdapat lebih 90 tapak geologi (geosites) yang telah dikaji dan mempunyai nilai warisan.
    • Menyerlahkan geomorfologi landskap karst, gua, gerbang laut (sea-arches), tunggul laut (sea-stacks), fosil, batu jatuh glasiar (glacial dropstones), air terjun, taman laut dan sebagainya.
    • Legenda dan mitos menyerlahkan misteri dan mewarnai budaya menjadi unsur penting di bawah geopark.
    • Budaya dan sosioekonomi menjadi tarikan pelawat juga adalah sebahagian daripada tarikan geopark.

     

    Adakah Geopark diwartakan seperti National Park atau Taman Rimba?

    Tidak. Secara khusus, Langkawi UNESCO Global Geopark tidak diwartakan sebagai suatu kawasan rizab. Namun begitu, hutan simpan kekal di Langkawi adalah sebahagian daripada Geopark dan dengan sendirinya, sebahagian Langkawi UNESCO Global Geopark terpelihara daripada ancaman kerosakan dari segi undang-undang. Di bawah konsep Geopark, pembangunan dalam kawasan Geopark adalah dibenarkan. Malah penyertaan masyarakat adalah digalakkan, khususnya yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan. Kawasan atau geotapak yang telah dimajukan sebagai tempat rekreasi, termasuklah Air Terjun Telaga Tujuh, Air Terjun Temurun, kawasan Kisap-Kilim dan juga Tasik Dayang Bunting.

    Apa falsafah di sebalik Langkawi UNESCO Global Geopark?

    Langkawi memang telah dikenali sebagai destinasi percutian pantai dan alam semula jadi. Langkawi UNESCO Global Geopark disasarkan menjadi jenama baru bertaraf dunia. Langkawi mencipta sejarah sebagai Geopark dunia yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara. Geopark Dunia, sebenarnya, baru diperkenalkan di bawah UNESCO. Ia bukan sahaja akan menarik pasaran pelancong yang cinta kepada keindahan alam sekitar tetapi juga kepada para saintis, ahli geologi, pelajar dan pengkaji pelbagai bidang seluruh dunia.

    Langkawi UNESCO Global Geopark mencipta pasaran baru dan tidak bertanding dengan pulau-pulau lain dalam negeri seperti Tioman, Pangkor, Penang, Redang atau destinasi pulau luar negeri seperti Bali, Phuket, Hawaii atau Malta.

    Langkawi UNESCO Global Geopark dikira akan mampu melipatgandakan kemasukan pelancong. Dengan kegiatan pelancongan yang bertambah, peluang pekerjaan dan perniagaan juga akan meningkat. Kita berusaha menjana potensi Langkawi dari segenap sudut, termasuk budaya, gaya hidup masyarakat. Kita melihat kepada rantaian kegiatan ekonomi yang bakal dijana di bawah agenda Geopark ini. Popularitinya akan menarik minat pelabur dalam dan luar negara.

    Matlamat ekonomi di bawah Langkawi UNESCO Global Geopark bukan sahaja untuk mencipta pasaran baru, malah membesarkan peluang ekonomi itu sendiri. Jadi mereka yang bergiat dalam industri pelancongan ini tidak berebut sesama sendiri, sebaliknya membuka peluang untuk mereka meluaskan perniagaan dan perhidmatan masing-masing.Kita juga merancang supaya Langkawi menjadi pusat kajian geologi di rantau ini. Langkah pertama kita ialah untuk menganjur satu Persidangan Geopark Antarabangsa Asia Pasifik pada bulan Oktober 2007. Ini akan mengalih perhatian perbincangan mengenai geopark dunia ke rantau ini yang selama ini berpuasat di negara-negara barat. Langkawi akhirnya akan dikenali sebagai Langkawi Geopark, satu jenama dunia yang tiada tolok bandingnya dari segi produk pelancong yang disediakan dan juga perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan. Ia akan menjadi satu tanda aras (benchmark), bagi geopark-geopark lain di dunia.

    Apa pentingnya Geopark kepada Langkawi?

    Langkawi merupakan pulau pelancongan. Itulah matlamat pembangunan yang dibawa oleh LADA sejak ia ditubuhkan. Persaingan adalah kuat dalam industri pelancongan.Langkawi UNESCO Global Geopark memasarkan jenama baru dan mengetengahkan tarikan baru untuk melonjakkan aktiviti pelancongan bagi Langkawi.

    Apa faedah kepada masyarakat Langkawi?

    Kejayaan Langkawi UNESCO Global Geopark akan meningkatkan kegiatan ekonomi Langkawi. industri perkhidmatan melibatkan hotel, agensi pelancongan, pemandu pelancong, pemandu bot, pemandu teksi, perniagaan runcit, restoran, gerai makanan, cenderahati dan kraf tangan. Akan meningkatkan peluang perniagaan dan membuka peluang pekerjaan secara meluas dan menyeluruh di Langkawi.

    Adakah mata pencarian penduduk setempat boleh terjejas contoh nelayan dan petani?

    Tidak sama sekali. Salah satu komponen utama Geopark ialah penduduk tempatan. Maknanya, semua lapisan masyarakat dan penduduk setempat boleh mendapat faedah secara langsung dan tak langsung. Langkawi UNESCO Global Geopark mengetengahkan beberapa produk dan geotrail baru, ini juga akan mengujudkan tambahan pekerjaan baru, khususnya bagi pemandu pelancong. Produk di bawah Geopark dirancang dengan mengutamakan alam semula jadi dan ini melibatkan banyak pengusaha tempatan secara terus seperti nature guides atau geoguides. Pengusaha bot, kenu, restoran dan warong, kraf tangan dan cenderahati, malah pengiat seni kebudayaan juga boleh meluaskan kegiatan mereka. Bagi nelayan dan petani, selain dari mencari rezeki menangkap ikan seperti biasa, mereka juga boleh menganjurkan atau menjual pakej memancing dan menyauk sotong dengan mengunakan bot aau perahu sendiri. Program homestay di kampung dan desa juga boleh diperkembangkan.

    Bagaimana Langkawi UNESCO Global Geopark diurus?

    Secara pentadbiran, ia diurus oleh LADA. Majlis Penasihat Langkawi UNESCO Global Geopark telah diwujudkan dan dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Kedah dengan keanggotaan terdiri daripada pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan Pusat dan negeri. Empat buah jawatankuasa (Jawatankuasa Teknikal, Jawatankuasa Pembangunan, Jawatankuasa Promosi dan Pemasaran dan Jawatankuasa Pemuliharaan) membantu melaksanakan dasar dan panduan yang diberi oleh Majlis. LADA melaksanakan semua projek khusus yang dikenal pasti untuk membangunkan Langkawi UNESCO Global Geopark. Bagi tahun 2007, LADA menerima peruntukan khas secara langsung dari Kementerian Kewangan untuk maksud ini.

     

     

    Kemaskini Terakhir Pada 03 Februari 2016

    Undian

    Apa pandangan anda mengenai laman web baru kami?

    Statistik

    04066581
    Hari IniHari Ini874
    SemalamSemalam3052
    Minggu IniMinggu Ini6930
    Bulan IniBulan Ini25990
    SemuaSemua4066581
    • small-logo-2small-logo-10small-logo-6small-logo-9
    • small-logo-3small-logo-4small-logo-7small-logo-8