Arkib

Pesta Sukan Kementerian Kewangan 2016
03 Jan

Pesta Sukan Kementerian Kewangan 2016

LANGKAWI – Pesta Sukan Kementerian Kewangan (PSKK) 2016 telah berlangsung dengan jayanya pada 16 hingga 22 Disember 2016 yang lalu bertempat di Kompleks Sukan Langkawi (KSL). Seramai 2,500 atlet daripada 13 buah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah mengambil bahagian dalam 12 acara yang dipertandingkan.

Acara yang di pertandingkan termasuklah badminton, bola sepak, bola jaring, golf, acara balapan dan permainan indoor seperti karom dan catur. Kesemua atlet telah bertungkus lumus demi menjulang nama agensi masing-masing. Pesta sukan ini telah dirasmikan oleh Datuk Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II pada 20 Disember. Sementara itu, Johari dalam ucapannya berkata beliau yakin dengan adanya penganjuran acara sukan seumpama ini mampu melahirkan kakitangan yang sihat dan cergas selain merapatkan silaturrahim anggota pelbagai peringkat perkhidmatan di bawah naungan Kementerian Kewangan.

Selain daripada perbarisan lintas hormat daripada semua kontingen dan bacaan ikrar kejohanan, para penonton juga turut dihiburkan dengan persembahan pancaragam daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Alor Setar serta persembahan penutup daripada Aepul Drama Band sebagai artis jemputan. Turut hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli. Antara kontinjen yang mengambil bahagian termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM), Bank Simpanan Nasional (BSN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM). Kontinjen lain ialah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bursa Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Majlis penutup bagi PSKK 2016 ini telah berlangsung di Dewan MIEC Langkawi pada 22 Disember dengan penyerahan bendera kejohanan kepada tuan rumah bagi tahun berikutnya iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN). Juara keseluruhan bagi pesta sukan kali ini telah dimenangi oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan berjaya membawa pulang piala pusingan dengan merangkul mejoriti pingat daripada acara olahraga.

PSKK kali ke-42 ini dilihat mencapai objektifnya kerana selain mencungkil bakat sukan, acara seperti ini juga dapat menggalakkan semangat bersatu padu, kerja berkumpulan, menanam semangat muhibbah dan melahirkan masyarakat yang sihat, berdisiplin dan berdaya saing secara positif untuk meraih kecemerlangan.

PENAFIAN
Kerajaan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

QR CODE:
QR Cde
  • LANGGAN BULLETIN
  • Facebook Twitter Mobile App
  • KEMASKINI TERAKHIR:
    Selasa, 20 Ogos 2019