Arkib

LAPORAN KURSUS KESIAPSIAGAAN DAN BANTU MULA
09 Jan

LAPORAN KURSUS KESIAPSIAGAAN DAN BANTU MULA

Kursus Kesiapsiagaan dan Bantu Mula ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Negeri Kedah. Tujuan kursus ini diadakan adalah bagi melatih dan mendidik petugas-petugas di dalam industri pelancongan bagi menghadapi dan sentiasa bersedia menghadapi waktu kecemasan yang berlaku di tempat tumpuan orang ramai.

Jumlah peserta yang menyertai kursus tersebut adalah seramai 110 orang yang terdiri daripada agensi penggembaraan kakitangan hotel, spa, pengusaha pusat pelancongan, pemandu teksi, agensi penggembaraan, pengusaha homestay, pemandu pelancong dan lain-lain telah turut serta di dalam kursus ini. Kursus ini telah bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

Bengkel tersebut telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh En Alfie Bin Abd Rahim daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, MOTAC Negeri Kedah. Kemudianya telah dirasmikan oleh En. Razaidi Abd Rahim, Pengurus Bahagian Pelancongan LADA. Seterusnya telah dikelola oleh Tuan Md Saifudin Bin Saad, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selama dua sesi iaitu pagi dan petang. Manakala bagi majlis penutup sebelah petang pula, Puan Maebel Leong Sai Fong, Ketua Penolong Pengurus Kanan telah menyampaikan tanda penghargaan kepada kakitangan APM dan MOTAC Kedah.

Kursus Kesiapsiagaan Menghadapi Kecemasan Dan Bantu Mula kepada Penggiat Industri Pelancongan Daerah Langkawi 2018 ini merupakan salah satu inisiatif “capacity building” dalam bidang pelancongan. Kursus ini amatlah diperlukan di dalam memacu profesionalisme dan kualiti perkhidmatan pelancongan yang kita tawarkan kepada para pelancong domestik dan antarabangsa yang datang ke bercuti Langkawi. Bertepatan dengan sasaran untuk menerima jumlah kedatangan pelancong seramai 5 juta orang dan pendapatan pelancongan sebanyak RM 9 billion menjelang tahun 2020.

Terdapat dua sesi telah dilaksanakan semasa penganjuran kursus ini iaitu latihan di dalam kelas dan amali di luar kelas. Latihan di dalam kelas menekankan kepada informasi berkaitan kepentingan aspek kecemasan dan bantu mula. Manakala latihan amali lebih menekan kepada praktikal berkaitan cara-cara menggunakan pemadam api dengan betul, teknik memadam api menggunakan material yang berlainan dan lain-lain.

Kepentingan kursus ini adalah bagi mempersiapkan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan barisan hadapan industri pelancongan di Langkawi. Perkara ini adalah bagi menjamin kedudukan Langkawi selaku destinasi pilihan utama para pelancong dari dalam dan luar negara turut menawarkan perkhidmatan bantuan kecemasan yang cekap, mesra pelancong, berkualiti dan bertaraf dunia.

PENAFIAN
Kerajaan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

QR CODE:
QR Cde
  • LANGGAN BULLETIN
  • Facebook Twitter Mobile App
  • KEMASKINI TERAKHIR:
    Selasa, 17 September 2019