Arkib

SEMPENA MAJLIS AMANAT PROGRAM PENGERUSI BERSAMA WARGA LADA
23 Jan

SEMPENA MAJLIS AMANAT PROGRAM PENGERUSI BERSAMA WARGA LADA

Bersempena dengan Sambutan Tahun Baru 2019, Majlis Amanat Pengerusi Bersama Warga LADA telah diadakan pada 22 Januari 2019 bertempat di Auditorium, Kompleks LADA. Majlis ini telah diserikan dengan amanat oleh Timbalan Menteri Kewangan, YB Dato’ Ir Amiruddin Bin Hamzah yang juga merupakan Pengerusi Bersama Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Di dalam sesi tersebut, YB TMK telah menyampaikan amanat beliau kepada warga LADA yang menyentuh empat (4) aspek yang perlu dipraktikkan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam terus unggul iaitu:

AMANAT PERTAMA: Memiliki Sifat-Sifat Unggul Sebagai Penjawat Awam

YB TMK Memberi Panduan Kepada Warga LADA Supaya Memiliki Sifat Yang Positif. Merujuk kepada ungkapan Begin with the End in Mind dalam buku 7 Habits Highly Effective People oleh Stephen R. Covey iaitu aplikasi asas dalam konsep adalah bermula pada hari ini kita jadikan imej, gambaran dan paradigma pada akhir hayat kita sebagai satu matlamat. Oleh yang demikian, LADA perlu memahami arah tuju organisasi di masa hadapan supaya dapat memahami dengan lebih jelas bersesuaian dengan kedudukan LADA sebagai agensi peneraju pembangunan di Langkawi. Justeru itu, sekiranya LADA ingin terus kekal unggul, Pengurusan Tertinggi LADA seharusnya jelas dengan matlamat dan way forward LADA. Pengurusan LADA perlu mempunyai perancangan yang teliti dalam memastikan pembangunan kapasiti/kompetensi warga LADA sentiasa di tahap yang terbaik dan ditambahbaik dari semasa ke semasa supaya LADA lebih berdaya maju seiring dengan agensi/kementerian lain di Malaysia. Pengurusan LADA juga perlu mengenalpasti aspek sokongan seperti kewangan, penyelidikan dan pembangunan, pemasaran, kakitangan, fasiliti fizikal dan sebagainya dalam usaha LADA mencapai matlamat yang ditetapkan. Sehubungan dengan itu, kita seharusnya meneliti keperluan adakah LADA masih relevan sebagai agensi persekutuan di Langkawi pada satu masa nanti?

AMANAT KEDUA: Bekerja Sebagai Satu Ibadah Dengan Niat Yang Ikhlas

“Bekerja sebagai satu ibadah” kata – kata ini merupakan saranan YB TMK kepada warga LADA supaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan ikhlas berdasarkan Hadis 40 dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab Radhiaallahuanhu iaitu: “Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat” YB TMK juga turut mengupas berkaitan beberapa perkara seperti berikut: i. Niat merupakan syarat layak/diterima atau tidaknya amal perbuatan, dan amal ibadah tidak akan menghasilkan pahala kecuali berdasarkan niat (kerana Allah Ta’ala) dan ii. Ikhlas dengan membebaskan niat semata-mata kerana Allah Ta’ala dituntut pada semua amal soleh serta ibadah. Selain itu, YB TMK juga menyentuh konsep Hijrah pada masa kini: "Hijrah" secara bahasanya adalah meninggalkan. Dari segi syariat pula bererti meninggalkan negeri kafir menuju negeri Islam dengan maksud biasa adalah melakukan ajaran agamanya dengan tenang. Yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah perpindahan dari Mekkah ke Madinah sebelum Fathu Makkah (Penaklukan Kota Mekah Tahun ke 8 Hijrah). Oleh demikian, semua warga LADA perlu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan telus dan berintegriti seiring bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam sentiasa cekap dan berakauntabiliti.

AMANAT KETIGA: Peranan LADA Sebagai Agensi Persekutuan Di Langkawi

YB TMK menyarankan supaya LADA meneliti semula dan memperkemaskan fungsi Akta 423, Akta Lembaga Pembangunan Langkawi seperti berikut :

Fungsi Pertama: Memajukan, menggalakkan, memudahkan, mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial dalam kawasan Lembaga Pembangunan Langkawi;

YB TMK menyarankan agar komuniti Langkawi mendapat manfaat ke atas program atau projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa. Fungsi Kedua: Memajukan dan menggalakkan Kawasan Lembaga Pembangunan Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan kawasan bebas duti; YB TMK berharap supaya LADA mengenalpasti pembangunan atau usaha memajukan destinasi pelancongan dilaksanakan berdasarkan identiti/acuan yang tersendiri. YB TMK juga menyarankan agar variasi atau kaedah memperkenalkan Langkawi sebagai kawasan bebas cukai yang tidak hanya tertumpu kepada produk alkohol atau rokok sahaja.

Fungsi Ketiga: Memajukan, menggalakkan, memudahkan dan mengusahakan pembangunan pelancongan dan infrastruktur serta juga pembangunan tempat tinggal, pertanian, perindustrian dan komersi; dalam Kawasan Lembaga Pembangunan Langkawi; YB TMK mengesyorkan supaya kajian atau penelitian pembangunan atau pembaharuan yang akan dilaksanakan adalah berdasarkan supply atau demand yang bersesuaian pada masa kini. Oleh yang demikian, LADA perlu memastikan usaha dan inisaitif demi pencapaian Misi dan Visi LADA. Selain itu, Pengurusan LADA perlu menentukan hala tuju baharu dalam tempoh 5 tahun akan datang supaya ianya relevan dan memenuhi kehendak Kerajaan dan stakeholder LADA.

Tambahan lagi, persekitaran politik dan ekonomi yang mencabar pada masa kini, LADA perlu bijak mengambil peluang dan menambah nilai tadbir urus demi memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Sehubungan dengan itu, LADA perlu melaksanakan amalan benchmarking dengan agensi/kementerian lain dari semasa ke semasa sebagai salah satu kaedah bagi meneroka best practice yang sesuai dipraktikkan di LADA dalam pengurusan tadbir urus organisasi yang cemerlang.

YB TMK turut memetik kata – kata berikut “Either you innovated or evaporated”. Bagi aspek teknologi, LADA seharusnya ke terhadapan selari dengan peredaran zaman teknologi moden serta berani mengambil peluang mengaplikasikan penggunaan teknologi dan inovasi dalam melaksanakan pengurusan pentadbiran organisasi sebagaimana konsep forefront technologies and future thinking iaitu technology innovation across government. Fungsi Keempat : Menyelaras pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang tersebut dalam perenggan, (a), (b) dan (c) dalam Kawasan Lembaga Pembangunan Langkawi. Yang terakhir, YB TMK menyentuh berkaitan aspek pembangunan dan penglibatan komuniti di Langkawi. LADA selaku agensi peneraju pembangunan di Langkawi perlu membuat perancangan yang teliti dalam membangunkan program sosial dan ekonomi bersesuaian kepada komuniti tempatan tanpa mengira demografi. Selain itu, YB TMK menyarankan supaya LADA menganjurkan program khas / program kesedaran berkolaborasi dengan agensi – agensi berkepentingan di Langkawi dalam inisiatif membasmi isu berkaitan jenayah dan ponteng sekolah di kalangan remaja yang sangat kritikal di Langkawi.

AMANAT KEEMPAT: Promosi Pelancongan

YB TMK menyarankan supaya LADA perlu bijak mencari alternatif baru dan kaedah terkini dalam mempromosikan Langkawi menggunakan media sosial di dalam pasaran tempatan mahu pun antarabangsa. LADA turut disarankan untuk melaksanakan promosi pelancongan secara atas talian serta menyokong usaha mempromosikan Langkawi melalui blogger, insta famous dan selebriti yang mempunyai pengikut yang ramai di sosial media. Akhir sekali, YB TMK turut mengesyorkan konsep pelancongan homestay iaitu pelancong didedahkan dengan cara hidup atau budaya komuniti di Langkawi di mana pelancong dapat merasai pengalaman dan suasana kampong (real life) kehidupan komuniti seperti penyediaan makanan, mempelajari tarian, pemakaian pakaian tradisional serta mempelajari loghat bahasa tempatan.

PENAFIAN
Kerajaan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

QR CODE:
QR Cde
  • LANGGAN BULLETIN
  • Facebook Twitter Mobile App
  • KEMASKINI TERAKHIR:
    Selasa, 23 Julai 2019