Arkib

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG LADA TAHUN 2018
27 Mac

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG LADA TAHUN 2018

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) LADA Tahun 2018 telah diadakan pada 13 Mac 2019 (Rabu) bertempat di Hotel Aloft Langkawi, Pantai Tengah. Majlis APC pada tahun ini bertemakan “Glittering Blue” yang melambangkan sifat rajin dan berdedikasi warga LADA. Majlis ini diadakan sebagai penghargaan kepada 28 orang penerima APC dan penyampaian Sijil Keberanian Lembaga Pembangunan Langkawi kepada kakitangan LADA yang terlibat.

Majlis dirasmikan oleh Tuan Haji Mohd Asri Redha bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) dan dihadiri oleh 230 orang kakitangan LADA termasuk pasangan, kakitangan anak-anak syarikat LADA selain wakil media tempatan. Majlis telah diserikan dengan persembahan daripada ahli silap mata, persembahan kebudayaan, persembahan nyanyian daripada kakitangan LADA dan persembahan King/Queen Of The Nights pada malam itu.

Majlis ini dilaksanakan selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2012 – Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Cemerlang dan Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Anugerah ini merupakan penghargaan Kerajaan kepada pegawai perkhidmatan awam yang telah memberi perkhidmatan cemerlang di samping pengiktirafan terhadap perkhidmatan yang bermutu tinggi berdasarkan prestasi tahunan pegawai. Merujuk pekeliling tersebut, pegawai yang layak dipertimbangkan bagi pemberian APC adalah semua pegawai perkhidmatan awam sama ada yang dilantik secara tetap, sementara atau kontrak dan telah berkhidmat genap setahun pada hari terakhir tahun penilaian.

Merujuk PP Bil 13 Tahun 2012 juga, penerima APC adalah 8% daripada pegawai dan kakitangan yang berkhidmat sehingga 31 Disember 2018. Berdasarkan rekod jumlah pegawai dan kakitangan LADA sehingga 31 Disember 2018, seramai 349 orang pegawai dan kakitangan LADA yang masih berkhidmat dan 8% daripada 349 orang adalah seramai 28 orang penerima APC. Penerima APC menerima insentif seperti berikut :

  • i. Sijil Perkhidmatan Cemerlang; ii. Sijil Simpanan Premium bernilai RM1,000.00; dan iii. Pegawai akan diberi peluang dalam pencalonan untuk menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan atau Negeri.

Sekalung penghargaan dan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang LADA bagi Tahun 2018.

Pendapat dan Harapan Penerima APC 2018

“Saya mulakan dengan setinggi penghargaan di atas penganugerahan APC 2018 kepada saya. Pada pendapat saya, penganugerahan yang diterima ini adalah sebagai motivasi kepada diri sendiri untuk menjalankan tugasan yang diberi dengan lebih cekap, pantas, amanah dan bertanggungjawab untuk menjadikan LADA sebagai organisasi yang hebat. Harapan saya pula adalah supaya anugerah APC ini dianugerahkan kepada pegawai & kakitangan yang sememangnya layak berdasarkan komitmen, kemahiran dan kecekapan di dalam menjalankan tugas harian serta dicadangkan oleh ketua bahagian masing-masing sepertimana yang dilaksanakan sekarang. saya ada sedikit pendapat berkenaan majlis APC. Majlis APC yang diuruskan oleh BSMKP adalah sememangnya yang terbaik. Tempat yang amat selesa, makanan pun sedap, perjalanan majlis pun ringkas & tersusun dan tema yang menarik. Cumanya bagi pendapat saya, sekiranya boleh bagi pemberi dan penerima APC perlu ditetapkan tema yang lebih formal & korporat seperti mengenakan suit blazer hitam + kemeja putih + tie/bow tie bagi lelaki dan bagi wanita pula baju kurung moden/tradisional/kebaya bercorak (ikut warna tema) memandangkan ia akan menjadi kenangan indah kepada penerima (rekod bergambar). Bagi jemputan lain tiada masalah untuk mengikut tema yang ditetapkan. Sekian, terima kasih.” – Encik Muhammad Faiz Ashmawi bin Zahridan, Penolong Jurutera Gred J36, Bahagian Kejuruteraan Teknikal.

“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan LADA yang telah memberi penganugerahan APC 2018 ini. Saya berharap insentif yang diterima ini dapat memberi motivasi kepada saya dan kakitangan LADA yang lain untuk terus berkhidmat dengan lebih cekap, akauantabiliti dan bertanggungjawab serta tidak lokek untuk menyumbang tenaga dan masa dalam menjalankan amanah yang diberikan. Pada pandangan saya, penganjuran majlis anugerah seperti ini sesuai jika dapat dilaksanakan pada waktu bekerja kerana ianya majlis formal Kerajaan. Fokus majlis adalah lebih kepada penyampaian penghargaan dan insentif kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan tidak sesuai konsep nyanyian karaoke diselitkan dalam majlis tersebut, ianya cukup sekadar persembahan kebudayaan semasa pembukaan majlis dan perasmian, bersesuaian dengan saranan Kerajaan dalam mengoptimumkan perbelanjaan. Sekian, terima kasih.” – Encik Muhammad Izzat bin Ghazali, Pegawai Tadbir Gred N41, Bahagian Pelaburan dan Pemudahcara Perniagaan.

“Syukur kepada Allah S.W.T dan saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan LADA yang telah memberi penghargaan ini. Saya berdoa dan berharap rakan-rakan seperjuangan saya yang lain juga akan berpeluang menerima penghargaan seperti ini dan sama-sama melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab. Penganjuran majlis anugerah seperti ini amatlah dihargai kerana memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan untuk bersuai kenal dan dapat mengeratkan silaturahim antara pegawai dan kakitangan bawahan. Sekian, terima kasih.” – Encik A.Bakar bin Che Saad, Pembantu Laut Gred A19, Bahagian Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan.

“Syukur dan terima kasih kepada pengurusan LADA yang telah memberi kepercayaan dan penghargaan kepada saya. Semoga dengan anugerah yang diberikan ini akan terus memberi motivasi dan dorongan kepada saya untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Saya berharap rakan-rakan saya dapat bersama-sama menunjukkan prestasi yang baik dan memperoleh penghargaan seperti ini. Terima kasih juga kepada urusetia yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis ini. Sekian, terima kasih.” - Encik Zamzuri bin Ramli, Pembantu Taman/Ladang Gred Setara 19

Sekalung penghargaan dan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang LADA bagi Tahun 2018.

PENAFIAN
Kerajaan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

QR CODE:
QR Cde
  • LANGGAN BULLETIN
  • Facebook Twitter Mobile App
  • KEMASKINI TERAKHIR:
    Ahad, 17 November 2019