Super User

Super User

LADA, 20 Mac 2019 – Unit Pengurusan Rekod dan Dokumentasi(UPRD), Seksyen Khidmat Pengurusan, BSMKP telah mengadakan Taklimat Prosedur Penerimaan dan Penghantaran Suratan Rahsia Rasmi Lembaga Pembangunan Langkawi bertempat di Bilik Mesyuarat Acara dan Promosi, Aras 5, Kompleks LADA. Taklimat prosedur ini telah disampaikan oleh Cik Nordiana bt Nordin, Ketua Penolong Pengurus, Seksyen Khidmat Pengurusan, BSMKP dan Puan Zunirah bt Othman, Penolong Pegawai Tadbir, Unit Pengurusan Rekod dan Dokumentasi, BSMKP.

Objektif taklimat ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta mengenai pentingnya pengurusan keselamatan dokumen kerajaan dalam jabatan dan memberi kefahaman tentang tatacara pengurusan suratan rahsia rasmi supaya dikendalikan dengan selamat dan mematuhi tatacara keselamatan perlindungan dokumen.

Taklimat ini telah disertai oleh seramai 22 orang peserta yang terdiri daripada Setiausaha Pejabat dan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) dari setiap bahagian/unit di LADA . Para peserta telah didedahkan dengan Prosedur Penerimaan Suratan Rahsia Rasmi dari Kementerian/Jabatan/Agensi Luar, Prosedur Edaran Dalaman Suratan Rahsia Rasmi ke Bahagian/Unit di LADA dan Prosedur Penghantaran Suratan Rahsia Rasmi ke Luar Jabatan. Prosedur – prosedur ini telah didokumenkan dalam Sistem Pengurusan Kualiti-MS ISO 9001:2015 dan akan dilaksanakan berkuatkuasa pada 01 April 2019.

Pada bulan Februari 2019, LADA telah menerima lawatan penanda aras daripada 2 buah agensi iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan pada 26 Februari 2019 dan Lembaga Hasil Dalam Negeri pada 27 Februari 2019.

Lawatan ini bertujuan bagi mendapatkan pandangan yang jelas berhubung pelaksanaan EKSA di LADA, di samping memberikan peluang kepada LADA dan agensi-agensi tersebut untuk berkongsi ilmu ke atas kejayaan LADA mendapat pensijilan kategori cemerlang dalam EKSA pada 15 Mac 2019 yang lalu. Dalam masa yang sama kedua-dua pihak turut bertukar pendapat dalam mengenalpasti kaedah terbaik amalan EKSA jabatan.

Antara input perancangan EKSA 2.0 LADA yang turut dikongsi bersama rombongan lawatan adalah mengenai ;-

  • I. Perluasan skop pengauditan EKSA LADA kepada produk & fasiliti LADA. II. Perancangan mengadakan pertandingan kreativiti dan inovasi dalam menididik dan mengcungkil bakal warga LADA di samping mengamal dan membudayakan EKSA 2.0 di LADA secara berterusan. III. Penambahbaikan dari masa ke semasa terhadap teguran-teguran lisan yang dikeluarkan oleh auditor MAMPU semasa pengauditan terdahulu.

Delegasi rombongan daripada JPJ telah diketuai oleh Pn. Zahidah Binti Abd Jalil yang merupakan Pengarah Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik dengan jumlah rombongan seramai 45 orang yang rata-ratanya terdiri daripada Jawatankuasa Kerja Induk EKSA di JPJ Persekutuan.

Manakala pada 27 Februari 2019, LADA telah menerima kunjungan dari LHDN cawangan Selangor bagi lawatan penanda aras EKSA. Rombongan ini telah dihadiri oleh seramai 32 orang pegawai dan kakitangan EKSA LHDN yang diketuai En. Mohamad Fauzi Bin Saat yang merupakan Pengarah Jabatan Integriti dan Pengurusan Risiko.

Melalui sesi perkongsian ilmu ini, ianya turut memberi input penambahbaikan EKSA 2.0 LADA pada masa akan datang. Antara input yang diperolehi ialah ;-

  • i. Perkongsian mengenai pengurusan sistem fail yang sistematik, sama ada dari segi kerja-kerja pentadbiran mahupun kewangan. ii. Kaedah serta konsep yang digunakan dalam memngadakan pertandingan inovasi dan kreativiti. iii. Pengenalan mengenai konsep yang digunakan bagi mennojolkan imej korporat angensi masing-masing

Pengurusan risiko merupakan satu aspek pengurusan yang sangat penting dalam mengenal pasti, menilai, dan mengatur kepentingan risiko seperti yang ditakrifkan dalam Piawaian ISO sebagai kesan ketidak tentuan pada matlamat yang ingin dicapai oleh sesebuah jabatan ataupun agensi. Justeru, pengurusan risiko juga bertindak untuk memastikan penggunaan sumber secara teratur dan ekonomi serta memaksimakan penzahiran peluang kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Pada 4 hingga 5 Mac 2019 yang lalu, BSMKP telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Risiko Sistem Pengurusan Kualiti bertempat di Dewan besar, LADA. Bagi Bengkel Pengurusan Risikp kali ini, BSMKP telah membawa khas penceramah dari SIRIM STS sdn. bhd. untuk berkongsi idea dan maklumat mengenai pengurusan risiko bersama 25 kakitangan LADA yang merupakan Jawatankuasa Pengurusan Risiko yang telah terlibat dalam bengkel selama 2 hari ini.

Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memantapkan kemahiran mengenalpasti risiko serta menganalisa kesan dan akibat sekiranya sesuatu risiko terjadi serta perancangan seterusnya di atur bagi pelaksanaan tindakan-tindakan kawalan, tindakan alternatif dan penambahbaikan dalam mengawal risiko tersebut daripada terus mengakibatkan impak yang negatif kepada imej jabatan.

Sepanjang berlangsungnya bengkel ini, banyak faedah serta input yang diperolehi hasil dari perkongsian idea dan maklumat di antara penceramah dan juga peserta. Antara inputnya adalah :-

  • i. Peserta dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai pemakaian klausa 6 piawaian ISO 9001:2015 yang menekankan kepada perancangan sosio-ekonomi dan dasar-dasar sektoral yang lain. ii. Mempersiapkan kakitangan dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko mengenai bukti-bukti dan maklumat berkaitan piawaian ISO 9001:2015 bagi audit seterusnya iii. Membangunkan Profil Pengurusan Risiko yang berkesan bagi memudahkan pelaksanaan audit ISO. iv. Memahami dengan lebih mendalam mengenai peluang serta keperluan daripada risiko yang mungkin dihadapi oleh LADA.
.

Dengan berlansungnya bengkel selama 2 hari ini, kakitangan yang merupakan Jawatankuasa Pengurusan risiko serba sebanyak dapat memahami dan mengenalpasti dengan lebih jelas mengenai risiko yang kemungkinan boleh dihadapi oleh LADA serta pelaksanaan cara-cara untuk mengawal risiko tersebut.

Standard ISO 9001 merupakan piawaiaan yang digunakan secara meluas bagi mengukur keberkesanan sistem pengurusan kualiti sesuatu jabatan/agensi secara efektif. Standard ISO 9001:2015 telah diterbitkan pada September 2015, menggantikan Standard ISO 9001:2008. Seiring dengan piawaian yang diterbitkan, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah dianugerahkan pensijilan Standard ISO 9001:2015 pada 5/9/2017. Di dalam pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK), kefahaman semua anggota kerja amat penting bagi memastikan pematuhan dan keberkesanan ke atas sistem tersebut dapat dipelihara. Justeru,satu bengkel pemurnian ke atas dokumentasi Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001: 2015 telah dijalankan pada 6 dan 7 Mac 2019 bertempat di dewan utama Tuba Beach Resort, Pulau Tuba, Langkawi. Bengkel ini telah disertai oleh seramai 35 orang kakitangan yang terdiri daripada pemilik Prosedur ISO. BSMKP telah menjemput penceramah dari SIRIM STS sdn. bhd iaitu Tn. Hj. Ali bin Maidin untuk memberi pencerahan dan pemahaman mengenai sistem dokumentasi SPK.

Sepanjang bengkel ini berlangsung, banyak faedah serta input yang diperolehi hasil perkongsian idea dan maklumat di antara penceramah dan juga peserta.

Antaranya adalah ; -

  • i. Pengenalan kepada SOP dokumentasi ISO yang menepati keperluan SPK MS ISO 9001:2015 ii. Perancangan pelaksanaan yang praktikal dari segi terbitan sistem dokumentasi dan prosedur yang menepati keperluan ISO iii. Membangunkan prosedur ISO baharu dan mengemaskini pindaan prosedur.

Melalui bengkel ini, kakitangan yang merupakan Jawatankuasa kerja MS ISO 9001: 2015 dapat mengenalpasti dan memahami dengan lebih lanjut mengenai cara pendokumentasian SPK yang berkesan serta menepati kehendak piawaian SPK yang telah ditetapkan.

Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat dianjurkan oleh Unit Pentadbiran AM, (BSMKP) yang telah diadakan di Dewan Besar Aras M2, Kompleks LADA pada 21 Mac 2019 bersamaan 14 Rejab 1440H pada jam 8.30 pagi. Majlis telah dikhalifahkan oleh Encik Asraf bin Ahmad, Penolong Pengurus Kanan Bahagian Teknikal. Majlis ini turut dihadiri oleh kedua-dua Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA. Majlis ilmiah ini diadakan bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim sesama pegawai dan kakitangan di Lembaga Pembangunan Langkawi, disamping menghadiahkan doa-doa kepada kedua ibubapa, sanak-saudara, anak-anak dan sahabat-handai sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan roh mereka dalam golongan hambaNya yang beriman.

Selain itu, Program Ceramah Bersempena Sambutan Israk Mikraj yang bertajuk “Kebesaran Peristiwa Israk Mikraj” turut diadakan selepas tamat Majlis Bacaan Yassin. Program ini merupakan program anjuran Unit Latihan dan Kompetensi, BSMKP, Kelab Sukan dan Kebajikan LADA dan Jawatankuasa Surau Al-Amin. Program ini telah dihadiri oleh wakil Pengurusan Tertinggi LADA iaitu Tuan Haji Mohd Asri Redha Bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) dan Tuan Haji Zepri Bin Saad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan).

Program ini mensasarkan penyertaan seramai 150 orang peserta di dalam Bangunan Kompleks LADA termasuklah warga kerja LADA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Langkawi FM. Program ceramah ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada warga kerja atau penjawat awam berhubung kebesaran Israk Mikraj serta tips – tips keluarga sakinah mawaddah dan warahmah di samping mengeratkan silaturrahim di antara warga kerja di Kompleks LADA. Alhamdulillah, semua peserta mendapat manfaat daripada penganjuran program ini dan bersama – sama kita bermuhasabah diri ke arah kebaikan mahupun dalam pekerjaan seharian atau pun kehidupan berkeluarga. Terima kasih kepada semua peserta yang hadir mengimarahkan majlis ilmu tersebut. Sehingga kita bertemu lagi di masa hadapan, Insyaallah!

Pertandingan Memancing Terbuka Langkawi 2019 bertempat di Chenang Break Water. Penganjuran kali pertama ini menerima penyertaan seramai 550 orang dari pelbagai negeri termasuk Kelantan, Penang dan juga Perlis.

Juara Tempat Pertama menaikkan ikan Pari seberat 7.10kg menerima hadiah wang tunai RM 7,000.00 dan tempat kedua hingga ke 10 juga didominasi oleh ikan Pari.

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) LADA Tahun 2018 telah diadakan pada 13 Mac 2019 (Rabu) bertempat di Hotel Aloft Langkawi, Pantai Tengah. Majlis APC pada tahun ini bertemakan “Glittering Blue” yang melambangkan sifat rajin dan berdedikasi warga LADA. Majlis ini diadakan sebagai penghargaan kepada 28 orang penerima APC dan penyampaian Sijil Keberanian Lembaga Pembangunan Langkawi kepada kakitangan LADA yang terlibat.

Majlis dirasmikan oleh Tuan Haji Mohd Asri Redha bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) dan dihadiri oleh 230 orang kakitangan LADA termasuk pasangan, kakitangan anak-anak syarikat LADA selain wakil media tempatan. Majlis telah diserikan dengan persembahan daripada ahli silap mata, persembahan kebudayaan, persembahan nyanyian daripada kakitangan LADA dan persembahan King/Queen Of The Nights pada malam itu.

Majlis ini dilaksanakan selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2012 – Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Cemerlang dan Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Anugerah ini merupakan penghargaan Kerajaan kepada pegawai perkhidmatan awam yang telah memberi perkhidmatan cemerlang di samping pengiktirafan terhadap perkhidmatan yang bermutu tinggi berdasarkan prestasi tahunan pegawai. Merujuk pekeliling tersebut, pegawai yang layak dipertimbangkan bagi pemberian APC adalah semua pegawai perkhidmatan awam sama ada yang dilantik secara tetap, sementara atau kontrak dan telah berkhidmat genap setahun pada hari terakhir tahun penilaian.

Merujuk PP Bil 13 Tahun 2012 juga, penerima APC adalah 8% daripada pegawai dan kakitangan yang berkhidmat sehingga 31 Disember 2018. Berdasarkan rekod jumlah pegawai dan kakitangan LADA sehingga 31 Disember 2018, seramai 349 orang pegawai dan kakitangan LADA yang masih berkhidmat dan 8% daripada 349 orang adalah seramai 28 orang penerima APC. Penerima APC menerima insentif seperti berikut :

  • i. Sijil Perkhidmatan Cemerlang; ii. Sijil Simpanan Premium bernilai RM1,000.00; dan iii. Pegawai akan diberi peluang dalam pencalonan untuk menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan atau Negeri.

Sekalung penghargaan dan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang LADA bagi Tahun 2018.

Pendapat dan Harapan Penerima APC 2018

“Saya mulakan dengan setinggi penghargaan di atas penganugerahan APC 2018 kepada saya. Pada pendapat saya, penganugerahan yang diterima ini adalah sebagai motivasi kepada diri sendiri untuk menjalankan tugasan yang diberi dengan lebih cekap, pantas, amanah dan bertanggungjawab untuk menjadikan LADA sebagai organisasi yang hebat. Harapan saya pula adalah supaya anugerah APC ini dianugerahkan kepada pegawai & kakitangan yang sememangnya layak berdasarkan komitmen, kemahiran dan kecekapan di dalam menjalankan tugas harian serta dicadangkan oleh ketua bahagian masing-masing sepertimana yang dilaksanakan sekarang. saya ada sedikit pendapat berkenaan majlis APC. Majlis APC yang diuruskan oleh BSMKP adalah sememangnya yang terbaik. Tempat yang amat selesa, makanan pun sedap, perjalanan majlis pun ringkas & tersusun dan tema yang menarik. Cumanya bagi pendapat saya, sekiranya boleh bagi pemberi dan penerima APC perlu ditetapkan tema yang lebih formal & korporat seperti mengenakan suit blazer hitam + kemeja putih + tie/bow tie bagi lelaki dan bagi wanita pula baju kurung moden/tradisional/kebaya bercorak (ikut warna tema) memandangkan ia akan menjadi kenangan indah kepada penerima (rekod bergambar). Bagi jemputan lain tiada masalah untuk mengikut tema yang ditetapkan. Sekian, terima kasih.” – Encik Muhammad Faiz Ashmawi bin Zahridan, Penolong Jurutera Gred J36, Bahagian Kejuruteraan Teknikal.

“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan LADA yang telah memberi penganugerahan APC 2018 ini. Saya berharap insentif yang diterima ini dapat memberi motivasi kepada saya dan kakitangan LADA yang lain untuk terus berkhidmat dengan lebih cekap, akauantabiliti dan bertanggungjawab serta tidak lokek untuk menyumbang tenaga dan masa dalam menjalankan amanah yang diberikan. Pada pandangan saya, penganjuran majlis anugerah seperti ini sesuai jika dapat dilaksanakan pada waktu bekerja kerana ianya majlis formal Kerajaan. Fokus majlis adalah lebih kepada penyampaian penghargaan dan insentif kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan tidak sesuai konsep nyanyian karaoke diselitkan dalam majlis tersebut, ianya cukup sekadar persembahan kebudayaan semasa pembukaan majlis dan perasmian, bersesuaian dengan saranan Kerajaan dalam mengoptimumkan perbelanjaan. Sekian, terima kasih.” – Encik Muhammad Izzat bin Ghazali, Pegawai Tadbir Gred N41, Bahagian Pelaburan dan Pemudahcara Perniagaan.

“Syukur kepada Allah S.W.T dan saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan LADA yang telah memberi penghargaan ini. Saya berdoa dan berharap rakan-rakan seperjuangan saya yang lain juga akan berpeluang menerima penghargaan seperti ini dan sama-sama melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab. Penganjuran majlis anugerah seperti ini amatlah dihargai kerana memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan untuk bersuai kenal dan dapat mengeratkan silaturahim antara pegawai dan kakitangan bawahan. Sekian, terima kasih.” – Encik A.Bakar bin Che Saad, Pembantu Laut Gred A19, Bahagian Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan.

“Syukur dan terima kasih kepada pengurusan LADA yang telah memberi kepercayaan dan penghargaan kepada saya. Semoga dengan anugerah yang diberikan ini akan terus memberi motivasi dan dorongan kepada saya untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Saya berharap rakan-rakan saya dapat bersama-sama menunjukkan prestasi yang baik dan memperoleh penghargaan seperti ini. Terima kasih juga kepada urusetia yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis ini. Sekian, terima kasih.” - Encik Zamzuri bin Ramli, Pembantu Taman/Ladang Gred Setara 19

Sekalung penghargaan dan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang LADA bagi Tahun 2018.

Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat dianjurkan oleh Unit Pentadbiran AM, (BSMKP) yang telah diadakan di Surau Aras M2, Kompleks LADA pada 21 Februari 2019 bersamaan 21 Jamadilakhir 1440H pada jam 8.30 pagi. Majlis telah dikhalifahkan oleh Tn. Haji Mustafa Bakri Bin Alias Sani, Pengurus Bahgian Perancang. Dengan izin Allah SWT, diharapkan majlis ini dapat diadakan secara bulanan. Majlis ilmiah ini diadakan bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim sesama pegawai dan kakitangan di Lembaga Pembangunan Langkawi, disamping menghadiahkan doa-doa kepada kedua ibubapa, sanak-saudara, anak-anak dan sahabat-handai sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan roh mereka dalam golongan hambaNya yang beriman.

Jumlah kehadiran dianggarkan 150 orang pegawai dan kakitangan LADA yang terdiri daripada semua bahagian/unit di LADA. Ucapan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam mengimarahkan Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat ini.

Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Februari 2019 telah diadakan pada 28 Februari 2019 bertempat di Auditorium LADA. Majlis Perhimpunan Bulanan kali ini bertemakan “AKAUNTABILITI CHEQ, TANGGUNGJAWAB CHEQ” ataupun dengan maksud lain AKAUNTABILITIKU TANGGUNGJAWABKU. Dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan dan peranan pegawai awam, kerajaan melalui Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 4 Tahun 2018 telah menguatkuasaan penggunaan myPortfolio. myPortfolio menitikberatkan akan penyediaan ‘Job Description (JD)’ yang meliputi element utama akan akauntabiliti bagi memberi tumpuan kepada tanggungjawab pegawai supaya visi dan misi kerajaan tercapai. Seiringan dengan arahan yang berkuatkuasa, mulai Disember 2018, LADA telah mengorak langkah dengan mewujudkan terlebih dahulu Job Description (JD) yang merupakan perkara baharu dan utama di peringkat ketua bahagian/unit dan seterusnya diikuti oleh pegawai dan kakitangan di bawah selian. Bermula 29 Januari 2019, draf bagi keseluruhan myPortfolio mulai dibuat dan tarikh penguatkuasaan myPortfolio LADA telah diputuskan pada 3 Mac 2019.

Selain itu, majlis juga turut meraikan Y.M. Raja Noor Afiz bin Raja Noor Afandi, Ketua Penolong Pengurus Kanan, BSMKP yang menamatkan tempoh peminjaman di LADA berkuatkuasa 01 Mac 2019. Majlis juga turut merakamkan penghargaan di atas perkhidmatan En. Ahmad bin Darus, Pengawal Keselamatan Gred KP11 yang telah menerima skin berpencen pada 06 Februari 2019.

Pada masa yang sama, turut diadakan eksesais pemakaian pangkat koperal kepada anggota polis bantuan LADA yang telah berjaya diberi kenaikan pangkat setelah lulus sesi pemilihan pada 30 Januari 2019 yang telah berjaya diberi kenaikan pangkat setelah lulus sesi penilaian pada 30 Januari 2019. Untuk makluman, seramai 16 orang telah terlibat didalam pencalonan tersebut dan telah mengikuti sesi penilaian yang melibatkan panel seperti berikut :

  • I. Tn. Hj. Mohd Asri Redha bin Abdul Rahman Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) II. En. Khalid bin Ibrahim Pengurus, BSMKP III. ASP. Norzana binti Yussoff Wakil daripada PDRM Langkawi

Kaedah penilaian calon melibatkan 3 sesi ujian iaitu ujian kecergasan, arahan kawad, dan ujian penulisan. Daripada 16 orang hanya 10 orang calon terpilih untuk sesi temuduga. Calon-calon yang telah melepasi semua penilaian telah dipilih menghadiri sesi temuduga pada 30 Januari 2019. Keputusan temuduga adalah dengan menamakan 5 orang anggota yang telah terpilih untuk pemakaian pangkat koperal polis bantuan seperti di bawah :

  • Koperal (PB) Azian bin Che Embin Koperal (PB) Mangshor bin Ahmad Koperal (PB) Faizon bin Fazil Koperal (PB) Hisham bin Haris Koperal (PB) Zainudin bin Harum

Perhimpunan Bulanan LADA pada kali ini juga turut mengadakan kolaborasi bersama beberapa buah bank dan syarikat TELCO bagi memberi peluang kepada stakeholder bagi mempromosikan produk-produk terbaru kepada kakitangan LADA. Platform ini dilihat dapat membuka ruang untuk berkongsi akan maklumat berkaitan, untuk makluman dan keperluan warga LADA.

Taklimat ini bertujuan menerangkan peraturan keselamatan akan tatacara kawalan penggunaan mesin penyalin dan faksimili yang melibatkan kawalan penyalinan dokumen Kerajaan, penempatan lokasi mesin dan penggunaannya.

“Arahan Keselamatan – Keselamatan Fizikal, Bab VII – Kawalan Mesin – Mesin Penyalin”. Pematuhan terhadap garis panduan ini penting dalam memastikan sistem kawalan keselamatan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Semua jabatan yang dibekalkan dengan mesin-mesin penyalin termasuk mesin-mesin pendua atau fotostat hendaklah sentiasa mengawasi penggunaan mesin-mesin tersebut terutama sekali apabila mengeluarkan dokumen-dokumen terperingkat. Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam tatacara kawalan dan penggunaan mesin penyalin dan mesin faksimili adalah seperti berikut :

MESIN PENYALIN MESIN FAKSIMILI
Dokumen Terbuka menggunakan Borang LADA.MP.01 Menggunakan Borang LADA.MF.01
Dokumen Terperingkat menggunakan Borang LADA.MP.02 Nombor pengirim yang dimasukkan adalah tepat dan betul
Pegawai/warga kerja LADA yang diberikan kuasa Pegawai Pengawal perlu bertanggungjawab ke atas mesin tersebut Masukkan borang faks penghantar sebelum dokumen difaks.
Sebarang penyelewengan dan penyalahgunaannya dapat dikenalpasti dan dilaporkan. Simpan rekod laporan yang dicetak secara digital bagi tujuan pemantauan

Selain itu, taklimat ini juga diadakan susulan daripada pematuhan kepada Arahan Keselamatan yang menitikberatkan perkara-perkara berikut :

  1. Mematuhi arahan CGSO dalam urusan keselamatan perlindungan dokumen;
  2. Memastikan penggunaan mesin fotostat/faksimili dapat dioptimumkan;
  3. Mengelakkan penyalahgunaan mesin fotostat;
  4. Mengelakkan kebocoran dan penyelewangan dokumen-dokumen rasmi Kerajaan daripada diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab;
  5. Membudayakan kaedah pengendalian urusan salinan dokumen dengan lebih teratur; dan
  6. Pengurusan LADA telah bersetuju menggunapakai garis panduan ini berkuatkuasa 3 Mac 2019.

Kesimpulannya, Pemakaian Garis Panduan Kawalan Mesin Penyalin dan Faksimili kepada pegawai dan kakitangan Lembaga Pembangunan Langkawi dilihat amat significant bagi mengelakkan berlakunya kebocoran maklumat serta memastikan keselamatan pengurusan dokumen kerajaan adalah terpelihara.

Halaman 1 dari 10
Isnin, 23 September 2019

MEDIA SOSIAL

Facebook Twitter