APA ITU GEOPARK?

Geopark merujuk kepada sesuatu kawasan yang terdapat tapak warisan geologi yang boleh digunakan oleh semua pihak bagi tujuan pemeliharaan, pendidikan dan pembangunan secara lestari/mapan. Adalah penting bagi sesebuah geopark mempunyai unsur-unsur ekologi, arkeologi, sejarah dan budaya. Kehidupan di dalam sesebuah masyarakat tidak boleh dipisahkan dengan alam semulajadi, budaya dan sejarah sosialnya. Hubungan di antara kehidupan, kepelbagaian geologi dan biologi serta budaya, merupakan komponen penting bagi setiap Geopark.

PEMBANGUNAN GEOPARK

Warisan Sejarah Langkawi Geopark

Alami perjalanan bersejarah dan nikmati keajaiban geologikal bumi yang berusia lebih dari 550 juta tahun bersama hos anda, Elaine Daly di Langkawi Geopark. Saksikan keindahan semula jadi dan nikmati budaya dan warisan Pulau Langkawi.

Taman Georimba Kars Kilim

Terletak di bahagian Timur Laut Pulau Langkawi di kawasan sekitar Sungai Kilim dan muaranya, sebahagian besar bentuk muka bumi kawasan ini adalah terhasil daripada batu kapur. Hakisan yang bermula sejak jutaan tahun dahulu telah membentuk pemandangan puncak-puncak gunung, lurah-lurah, gua-gua dan bukit-bukau yang unik di samping kekayaan pelbagai biotop dataran lumpur dan ekosistem paya bakau.

Terokai Georimba Kilim dengan menaiki bot untuk sampai ke tempat yang tidak dapat diakses melalui jalan darat, atau berjalan di sekitarnya dan temui ciri-ciri geologi unik yang turut merangkumi hamparan fosil dan stalaktit purba. Terdapat pelbagai spesies hidupan marin yang boleh dijumpai dalam perairan hijau yang memukau, di samping melihat burung berterbangan tinggi di langit, termasuklah helang yang sememangnya terkenal di kepulauan ini.

Taman Georimba Kambria Machinchang

Banjaran pergunungan Machinchang yang terletak di bahagian barat laut Langkawi serta Gunung Raya, gunung granit yang terletak di tengah-tengah pulau ini adalah terkenal dengan formasi batuan zaman Kambria (tempoh geologi pertama dalam Era Paleozoik).

Batuan di sini kebanyakannya adalah batu-pasir enapan dan granit yang membentuk pemandangan indah memenuhi latar langit. Machinchang adalah banjaran pergunungan tertua di Malaysia yang turut menjadi tuan rumah kepada barangkali hutan hujan tertua di atas muka bumi. Bahagian tertua Geopark ini terletak di Teluk Datai, tempat terdamparnya butiran pasir paling lama. Sejarahnya terpapar pada permukaan batu-pasir yang terdedah di bahagian atas teluk serta batu-lumpur/syal (batuan enapan gersik berbutir halus) di bahagian bawah.

Taman Georimba Marmar Dayang Bunting

Pulau Dayang Bunting merupakan pulau kedua terbesar dalam gugusan Langkawi yang terletak di bahagian selatan kepulauan ini. Nama ‘Dayang Bunting’ diberikan kepada pulau ini berdasarkan paras rupa bukit-bukau di atasnya yang mirip perut wanita hamil.

Pulau ini turut terkenal dengan tasik air tawar yang boleh didapati di antara bukit-bukau hutan yang berceranggah, iaitu Tasik Dayang Bunting. Tasik yang terbentuk hasil daripada runtuhan gua batu kapur agam tersebut turut mengandungi formasi marmar zaman Perm (Permian) yang terbaik di dunia.