Langkawi, 21 April 2022 – Jelajah Ramadhan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi tahun 2022 diteruskan, kali ini untuk menyantuni 32 orang yang terdiri daripada anak-anak yatim serta kumpulan asnaf dan B40 di kariah Masjid Ar-Rahman, Kedawang.

Program kerjasama LADA dan Langsura Geopark Sdn. Bhd. (LGSB) ini bertujuan membantu golongan asnaf dan mengeratkan silaturahim serta semangat kebersamaan antara keluarga LADA, anak syarikat serta komuniti setempat.

“Pada hari ini, LADA dan LGSB berbesar hati untuk menyalurkan sedikit bantuan kepada anak kariah Masjid Ar-Rahman, Kedawang. Pihak jawatankuasa masjid telah memilih seramai 32 orang penerima bantuan yang akan menerima sumbangan berupa wang tunai dan barang keperluan asas bernilai RM150.00 bagi meraikan bulan Ramadan Al-Mubarak. Diharapkan sumbangan kecil ini dapat membantu mengurangkan beban penerima,” ulas Ketua Pegawai Eksekutif LADA, YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib.

Ini merupakan usaha berterusan LADA sempena menyambut kehadiran bulan Ramadhan. Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada keluarga LADA dan kakitangan anak syarikat serta syarikat bersekutu untuk beramah mesra dengan komuniti setempat.

Sebanyak tiga buah masjid telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program iaitu Masjid Al-Aman Kampung Yooi (19 April 2022), Masjid As-Sofiah KEDA (17 April 2022) dan Masjid Ar-Rahman Kedawang semalam. Selain itu, LADA juga akan menganjurkan Program Bicara Ilmu bersama Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff pada 26 April 2022 di Masjid Al-Istiqamah, Kampung Kuala Teriang. Seramai 20 orang komuniti Langkawi akan menerima sumbangan tunai berjumlah RM3,000.00 dengan nilai RM150.00 seorang.

LADA juga telah menyalurkan sumbangan kepada 17 buah masjid dan surau bagi menyokong usaha mengimarahkan bulan Ramadhan ini. Sehingga 20 April 2022, sejumlah RM95,000.00 telah disalurkan melalui program kebajikan dan keagamaan bagi menyantuni komuniti di Langkawi.