Langkawi, 27 Mac 2022 – Seramai 100 orang usahawan Langkawi telah menyertai Program Bicara Usahawan ‘From Zero To Hero’ yang berlangsung di Auditorium Kompleks LADA hari ini.

Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah teras pemantapan usahawan ke arah bersikap inovatif dan berdaya saing sebagaimana yang terkandung dalam Pelan Strategik LADA 2022-2026. Inisiatif ini dilaksanakan untuk memperkasakan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Langkawi dengan perkongsian pengalaman bersama penerima Tokoh Usahawan Wanita 2006, Puan Rozita binti Ibrahim.

“LADA dan usahawan Langkawi merasa amat bertuah hari ini dengan kehadiran seorang ikon usahawan tempatan yang berjaya bagi berkongsi ilmu dan pengalaman beliau dalam perniagaan yang telah diusahakan selama lebih 20 tahun. Terima kasih Bonda Rozita kerana sudi memenuhi jemputan LADA pada hari ini. Saya yakin sesi ini berjaya menyuntik semangat pemain industri kecil dan mikro Langkawi untuk terus berusaha memajukan semula perniagaan dalam menghadapi pemulihan ekonomi di Pulau Langkawi,” kata YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA semasa bertemu media.

“Kita juga berharap agar kumpulan usahawan bumiputera di Langkawi akan terus merebut peluang yang ada ketika ini untuk mengembangkan perniagaan kepada segmen yang dapat memberi pulangan berganda. Bidang keusahawanan ini memerlukan minat dan komitmen yang tinggi. Para usahawan perlu sentiasa melengkapkan diri dengan maklumat dan pengetahuan tentang selok-belok perniagaan. Pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran sangat membantu mereka dalam menentukan hala tuju perniagaan yang diusahakan,” ujar beliau lagi.

LADA juga telah merangka pelbagai strategi dan inisiatif untuk terus memacu pembangunan komuniti dan usahawan dalam pelbagai aspek selaras dengan matlamat dan pembangunan transformasi negara. Ini termasuklah menyalurkan pelbagai bantuan kepada usahawan Langkawi yang berjumlah tidak kurang daripada RM 400,000 dari tahun 2020 hingga 2021 di bawah Peluang Ekonomi Baru, Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG).

Bonda Rozita ketika ditemui berharap perkongsian pengalaman beliau bagi melebarkan sayap perniagaannya, Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. yang ditubuhkan 23 tahun lalu dapat memberikan inspirasi kepada usahawan di Langkawi untuk terus berusaha memajukan perniagaan masing-masing. Syarikat itu menjadi titik permulaan kejayaan beliau sehingga tertubuhnya JRM Holistik Sdn. Bhd. yang memasarkan produk berasaskan herba. Syarikat tersebut kini mempunyai stokis dan pengedar di serata Malaysia, Singapura dan Brunei.