SIARAN MEDIA

MAJLIS PELANCARAN PROJEK RINTIS INTEGRASI PERTANIAN DAN PERIKANAN SERTA PRA PELANCARAN AYER HANGAT VILLAGE (AHV) BERWAJAH BARU

Mendepani cabaran pembangunan ekonomi di Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan DXN Agro Tech Sdn. Bhd. telah menjalin kerjasama strategik bagi melaksanakan Projek Rintis Integrasi Pertanian dan Perikanan. Inisiatif ini adalah merupakan salah satu tindakan yang diketengahkan oleh LADA semasa pelancaran Pelan Tindakan Pemulihan Ekonomi Langkawi, yang kini diberi nama Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG). Projek ini juga merupakan salah satu inisiatif di bawah TERAS – Kepelbagaian Ekonomi, Strategi Pembukaan Peluang Ekonomi Baru.

Projek Rintis Integrasi Pertanian dan Perikanan di Ayer Hangat ini dilaksanakan bertujuan untuk membantu sosio-ekonomi penduduk Langkawi yang terjejas pendapatannya akibat penularan wabak COVID-19. Selain itu, ianya turut memberikan peluang kepada penduduk Langkawi yang mempunyai minat untuk menceburi bidang penanaman cendawan. Dengan ini, ianya secara tidak langsung akan membantu mengurangkan beban ekonomi peserta yang menyertai program ini. Di dalam sesi yang sama hari ini, 2 buah rumah cendawan akan diserahkan kepada komuniti Langkawi iaitu Kelab Anggerik Langkawi dan Persatuan Penjaja-Penjaja Dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Kedah (Cawangan Langkawi). Tindakan ini selaras dengan usaha LADA membantu komuniti yang terkesan dengan kejadian pandemik COVID-19.

Kerjasama strategik antara LADA dan DXN Agro Tech Sdn. Bhd. bagi melaksanakan industri pertanian moden ini membawa faedah kepada komuniti Langkawi dari aspek seperti berikut:

  1. Menyediakan latihan kepada para peserta yang terpilih di dalam program tanaman cendawan tiram;
  2. Mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk Langkawi;
  3. Membina dan mengusahakan 20 rumah cendawan tiram dan lain-lain spesies cendawan;
  4. Membina dan mengusahakan 2 buah kolam ikan tilapia dan ketutu;
  5. Membina dan mengusahakan 2 projek penanaman sayur-sayuran hidroponik; dan
  6. Mewujudkan agro-pelancongan terbaru di Langkawi.

Selain itu, kerjasama ini juga akan memberi impak secara langsung kepada komuniti dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada 90 orang masyarakat tempatan. Ini bermula pada fasa pertama dengan pengambilan pekerja seramai 40 orang di Ayer Hangat Village (AHV) serta 10 orang lagi akan bekerja di Kampung Cendawan. Manakala sebanyak 40 peluang pekerjaan akan ditawarkan di dalam fasa kedua perusahaan Kampung Cendawan. Komuniti Langkawi dilihat dapat menjana pendapatan yang positif dan dijangka akan memperoleh pendapatan bersih hingga RM2,400.00 sebulan bagi sebuah rumah cendawan.

Dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonomi dan pendapatan komuniti Langkawi, LADA yakin bahawa pewujudan industri agro pelancongan di Langkawi dapat meningkatkan kesejahteraan ekonomi setempat. Seterusnya ia juga bakal mempelbagaikan sumber pendapatan masyarakat tanpa terus bergantung kepada industri pelancongan semata-mata yang berkemungkinan mengambil masa untuk stabil dalam tempoh terdekat ini, akibat masalah global iaitu wabak pandemic COVID-19.

Unit Khidmat Korporat
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)

15 Julai 2020