Pelan Tindakan Pemulihan Ekonomi Langkawi

Pelan Tindakan Pemulihan Ekonomi Langkawi2021-03-09T11:05:57+08:00

SIARAN MEDIA

PERANCANGAN DAN PELAKSANAAN PELAN TINDAKAN PEMULIHAN EKONOMI LANGKAWI

Langkawi, 31 Mei 2020 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) kini sedang merangka satu Pelan Tindakan Pemulihan Ekonomi Langkawi (PTPEL). Objektif Pelan ini adalah untuk memulihkan ekonomi Langkawi yang terjejas kesan daripada penularan wabak pendemik COVID-19 dan sekatan perjalanan dan sempadan. Pelaksanaan Pelan ini adalah berdasarkan 3 teras utama yang didokong oleh 10 strategi dan 30 deraf tindakan.

Sidang media pada hari ini bertujuan mengumumkan beberapa tindakan awal yang telah diluluskan oleh Jemaah Pengarah LADA pada 11 Mei 2020.

Untuk memurnikan Pelan Tindakan ini, LADA akan memulakan proses libat-urus dengan penggiat industri pelancongan Langkawi yang dijangka berlangsung selama 3 bulan. Tindakan susulan berhubung perkara ini akan dikongsikan dari masa ke masa dengan pihak yang terlibat dan juga warga media.

Pelaksanaan bagi pelan ini terbahagi kepada 3 kategori tempoh masa iaitu tindakan jangka pendek (quick-win), jangka sederhana serta jangka panjang. Berikut dikongsikan beberapa strategi yang telah mula diatur dan diambil tindakan untuk pengetahuan semua;

(1) Strategi 1 – Sokongan kepada kawalan penularan COVID-19

1.1

LADA bersama anak syarikat LADA telah menyalurkan bantuan penyediaan makanan, bahan mentah, mask dan PPE kepada frontliners dengan peruntukan sebanyak RM53,465.00.

1.2

Membantu golongan asnaf semasa COVID-19 melalui Program Asnaf Care di bawah Panorama Langkawi Sdn Bhd berjumlah RM31,000.00.

(2) Strategi 2 – Meringankan kesan kepada populasi berisiko

2.1

Penyaluran bantuan tunai kepada asnaf melalui kerjasama anak syarikat iaitu Panorama Langkawi (PLSB) dan Langkawi Port (LPSB) serta Lembaga Zakat Negeri Kedah melalui pelaksanaan program Ramadhan Fi Qalbi dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM66,400.

2.2

Strategi mewujudkan peluang kepada masyarakat Langkawi menjana pendapatan telah mula digerakkan. LADA menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000.00 bagi bantuan untuk memulakan semula perniagaan kepada usahawan dan peniaga kecil dengan syarat seperti berikut:

(i)

Had maksima adalah tidak lebih daripada RM3,000 bagi setiap permohonan;

(ii)

Pemohon hendaklah mempunyai lesen perniagaan yang sah;

(iii)

Pemohon mempunyai pengalaman dalam perniagaan melebihi 2 tahun; dan

(iv)

Permohonan hendaklah mempunyai pelan perniagaan yang berdaya saing.

(3) Strategi 3 – Membuka peluang ekonomi baru

3.1

Beberapa konsep untuk mempelbagaikan asas ekonomi Langkawi akan diperkenalkan iaitu;

(i)

Projek penanaman sayuran berdasarkan konsep Contract Farming Program. LADA bersama anak syarikat Panorama Langkawi Sdn. Bhd. akan memulakan Projek Rintis dengan penyediaan 5 ekar tanah kepada 10 peserta;

(ii)

Projek jualan hasil laut dengan memborong hasil tangkapan laut untuk dijual di pasaran Lembah Klang. Projek ini akan dikendalikan oleh LADA Eco-Tourism Sdn. Bhd. bersama komuniti pemandu teksi Langkawi;

(iii)

Projek jualan buah-buahan dan sayuran tempatan secara jualan runcit atau atas talian. Projek akan membentuk rantaian jualan dan dikendalikan oleh LADA Eco-Tourism Sdn. Bhd. bersama Koperasi Pasar Malam; dan

(iv)

Projek perniagaan menggunakan platform atas talian. LADA akan membantu dan menggalakkan usahawan menjalankan secara atas talian dengan mengunakan platform seperti langkawiruncit.com dan lain-lain yang berkaitan.

(4) Strategi 4 – Menjenamakan semula Langkawi sebagai destinasi yang selamat, bersih dan lestari

4.1

Memperkenalkan Pelancongan Pintu-ke-Pintu (door-to-door tourism) yang menepati perkhidmatan pelancongan ‘Customized Travel’.

(i)

Seperti saranan UNWTO perkhidmatan ini memerlukan destinasi percutian menawarkan pakej yang selamat untuk semua segmen pasaran.

(ii)

Melalui pakej ini, pelancong akan dijemput bermula di kediaman mereka sehingga ke tempat percutian dan melakukan pelbagai aktiviti serta kembali semula ke kediaman dengan keadaan selamat mengambilkira keperluan penjarakan sosial dan protokol keselamatan lain.

4.2

Safety Messaging juga akan dilaksanakan dalam usaha menjadikan Langkawi sebagai destinasi selamat.

(i)

LADA bersama agensi kerajaan di Langkawi iaitu KKM, PDRM, MOTAC, MPL akan melancarkan peraturan awam yang perlu dipatuhi oleh setiap pelancong semasa berada di pulau ini.

(ii)

Ianya bertujuan untuk menyakinkan pelancong bahawa Langkawi merupakan destinasi selamat. Peraturan Awam ini akan dikeluarkan mengikut garis panduan MKN dan disesuaikan dengan keadaan semasa di Langkawi.

(ii)

Pemilik produk yang berjaya mengikuti SOP yang ditetapkan akan dianugerahkan ‘sijil hijau’.

(5) Strategi 5 – Mempromosikan pelancongan Langkawi secara berfokus

5.1

Promosi jualan melalui pelancaran Langkawi Great Sales akan diadakan mulai 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020.

(i)

Kempen ini bertujuan untuk membawa masuk semula pelancong ke Langkawi. Promosi jualan ini akan menawarkan diskaun istimewa kepada pengunjung iaitu di antara 10% hingga 70%.

(ii)

Pemain industri yang terlibat dalam kempen ini terdiri daripada pengusaha hotel, kedai bebas cukai, produk pelancongan dan pengangkutan kereta sewa pandu sendiri.

(6) Strategi 6 – Langkah-langkah fiskal untuk mengurangkan kesan kepada sektor swasta

6.1

Memahami akan ketegangan ekonomi yang dihadapi oleh semua pihak, LADA menyediakan pakej pengecualian sewaan/yuran pengurusan kepada penyewa premis milik LADA.

(i)

Pengecualian ini membawa nilai sebanyak RM1,279,194. Ianya akan dilaksanakan berdasarkan syarat yang ditetapkan dan melibatkan premis dari kategori rumah sewa, premis perniagaan, operator di bawah perjanjian pengurusan/M&O serta penyewa tanah komersial. Anak syarikat LADA iaitu Panorama Langkawi Sdn Bhd juga menawarkan pakej pengecualian sewa yang melibatkan kos RM1,198,899.

(ii)

Pengecualian yang diberikan adalah sepanjang tempoh PKP atau dengan had maksimum sehingga tempoh 6 bulan sahaja.

Kesimpulannya, Pelan Tindakan ini disediakan oleh LADA sebagai kesinambungan kepada pakej-pakej ransangan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam memacu semula pembangunan ekonomi di Langkawi. Selain itu, perancangan dan pelaksanaan Pelan Tindakan ini akan diperhalusi melalui sesi rundingan yang akan diadakan bersama pihak penggiat industri pelancongan di Langkawi dan wakil masyarakat tempatan.

Unit Khidmat Korporat
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)

31 Mei 2020

TERKINI

PERBANDINGAN KEDATANGAN PELANCONG KE LANGKAWI 2019 & 2020 (JAN – APRIL)

Penurunan kedatangan pelancongan bagi tempoh Januari hingga April 2020 adalah sebanyak 4,835.0% berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

TREN KETIBAAN PELANCONG LANGKAWI DARI TAHUN 1986-2020

Penularan wabak COVID 19 dijangka akan memberi kesan kepada penurunan kemasukan pelancong pada tahun 2020 iaitu antara 1 hingga 2 juta pelancong

PELAN TINDAKAN PEMULIHAN EKONOMI LANGKAWI

Perancangan dan Pelaksanaan Pelan Tindakan Pemulihan Ekonomi Langkawi merangkumi

0
TERAS
0
STRATEGI
0
TINDAKAN (DRAF)

INISIATIF PENGECUALIAN SEWAAN/YURAN PENGURUSAN DI PREMIS MILIK LADA

Premis berkaitan yang dikenalpasti dan mematuhi syarat yang ditetapkan akan diberi pengecualian sewaan/yuran pengurusan sepanjang tempoh PKP + 3 bulan (atau dengan pengecualian selama had 6 bulan)

INISIATIF BANTUAN MODAL MEMULAKAN SEMULA PERNIAGAAN

LADA menyediakan inisiatif bantuan modal sejumlah RM500,000 dengan syarat-syarat seperti berikut

Kelulusan akan juga tertakluk kepada terma lain yang akan ditetapkan kelak

Go to Top