Tarikh : 8 Jun 2022 (Rabu)
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Jeti Kubang Badak, Langkawi

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh dan salam sejahtera.

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama dalam program GeoCoral & GeoMarine Hello Environment siri 1/2022 pada pagi ini. Program ini dianjurkan selain sebagai salah satu pengisian Karnival Langkawi Geopark 2022, ia juga bersempena dengan sambutan Hari Lautan Sedunia atau World Ocean Day pada 8 Jun setiap tahun.

2. Izinkan saya mengalu-alukan tetamu kita iaitu Yang Berusaha Encik Shukri bin Deris, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kita pada hari ini.

3. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada hadirin sekalian terutama kepada semua peserta sukarelawan yang telah meluangkan masa untuk menyertai program pada hari ini.

Geocoral & Geomarine: Hello Enviroment

Hadiran sekalian,

4. Untuk makluman semua, program pada pagi ini telah berjaya menarik seramai 100 orang sukarelawan dari agensi kerajaan, NGO dan juga komuniti setempat. Pagi ini terdapat dua aktiviti yang telah diatur oleh pihak urus setia program iaitu aktiviti penanaman atau semaian benih terumbu karang dan juga aktiviti mengalih benih karang ke dasar laut.

5. Melalui program ini, LADA berharap dapat memupuk rasa sayangkan kepada alam sekitar terutama terumbu karang yang merupakan kehidupan penting di dasar laut. Kehadiran terumbu ini akan menjadikan kawasan tersebut sesuai dengan aktiviti pelancongan seperti scuba diving dan juga snorkerling dengan kehadiran pelbagai jenis ikan karang yang cantik dan berwarna warni.

6. Saya dimaklumkan bahawa komuniti Kubang Badak telah memperkenalkan Pakej Geocoral Adoption Program kepada pelancong pada 2014. Melalui pakej ini pelancong berpeluang melakukan aktiviti semaian benih terumbu karang yang akan dibimbing oleh komuniti yang terlatih dengan aktiviti tersebut.

Sambutan Hari Lautan Sedunia (World Ocean Day)

Hadirin yang dihormati sekalian,

7. Penganjuran program ini pada hari ini juga bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia atau World Ocean Day pada 8 Jun setiap tahun sebagaimana yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

8. Pada tahun ini bertemakan Revitalization Collective Action for the Ocean mengajak kita untuk melaksanakan pemulihan dasar laut secara bersama dalam menguruskan sumber laut kita. Oleh yang demikian, pada hari ini kehadiran Encik Shukri bin Deris, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah menunjukkan bahawa keterlibatan komuniti nelayan dalam pemuliharaan terumbu karang ini amat penting dalam menjamin kemasukan ikan komersial di perairan Langkawi.

Karnival Langkawi Geopark 2022

9. Sepertimana tuan/puan sedia maklum, Langkawi UNESCO Global Geopark kini telah meniti usia melebihi sedekad di mana pada 1 Jun 2022 kelmarin, maka genaplah Langkawi Geopark memasuki usia 15 tahun memegang status Global Geopark.

10. Justeru, LADA telah menganjurkan Karnival Langkawi Geopark 2022 selama sebulan mulai 1 Jun hingga 30 Jun 2022 dengan pengisian acara sebanyak 22 buah acara.

11. Langkawi UNESCO Global Geopark merupakan agenda sangat penting dengan memperkenalkan konsep pelancongan lestari. Pendekatan ini membolehkan aktiviti pelancongan yang dijalankan dilaksanakan secara positif kepada pembangunan sosioekonomi tempatan dan meninggalkan impak minima kepada alam sekitar untuk memelihara dan memulihara khazanah Langkawi untuk generasi akan datang.

12. Penganjuran karnival ini juga merupakan satu langkah awal untuk memaklumkan kepada umum bahawa pulau ini akan dinilai bagi kali keempat oleh pihak UNESCO pada tahun hadapan (2023).

13. Misi Penilaian Semula ini merupakan satu proses semakan oleh pihak UNESCO bagi memastikan pengurusan Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) memenuhi kriteria yang telah ditetapkan iaitu keunikan warisan geologi, pemuliharaan dan pemeliharaan, pendidikan awam dan pembangunan komuniti dari sudut ekonomi dan sosiologi.

Penutup

14. Akhir kata, saya merakamkan ribuan terima kasih kepada semua yang dapat melapangkan masa untuk menjayakan program pada hari ini terutama kepada Yang Berusaha Encik Shukri bin Deris, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah.

15. Jadikanlah aktiviti sebegini sebagai sumber inspirasi bagi mendidik keluarga dan komuniti untuk mencintai alam sekitar memandangkan kesedaran kepada alam sekitar perlu dididik di usia masih muda supaya menjadi sifat terpuji dan ikutan generasi berikutnya.

Sekian,