Langkawi, 5 Oktober 2022 – 55 slot kelayakan ke Kejohanan Dunia VinFast IRONMAN 2023 di Kailua-Kona, Hawaii dan 30 tiket ke Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 VinFast di Lahti, Finland telah berjaya menarik 1,500 orang atlet triatlon ke pulau legenda ini bagi menyertai acara triatlon berprestij IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Langkawi 2022. Ini menjadikan acara pelancongan ini menjadi tumpuan atlet daripada pelbagai pelosok dunia.

“Kita mendapati trend kemasukan pelancong ke Pulau Langkawi semakin pulih daripada masa ke masa dan dengan adanya penganjuran acara ternama ini bakal menarik lebih ramai pelancong ke Langkawi. Sehingga 31 Oktober 2022, Langkawi menerima pelancong seramai 228,125 berbanding sasaran yang ditetapkan bagi bulan ini iaitu 210,000. Ini menjadikan jumlah kedatangan pelancong ke Langkawi sehingga Oktober ialah 2.1 juta.” ulas Nasaruddin bin Abdul Muttalib.

Tahun ini menyaksikan penglibatan 54 buah negara dengan penyertaan tertinggi adalah dari negara Malaysia (631 penyertaan) diikuti oleh negara Jepun dan Singapura dengan 120 penyertaan dan 91 penyertaan. Pada tahun ini sekali lagi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menjadi rakan kolaborasi dengan menjalinkan kerjasama World Endurance Malaysia Sdn. Bhd. bagi menganjurkan acara triatlon ini.

“LADA menyambut baik penganjuran acara IRONMAN yang sememangnya sinonim dengan pulau Langkawi. Kita yakin acara ini dapat memberi limpahan ekonomi kepada penduduk Langkawi yang sentiasa menantikan acara-acara bertaraf dunia sebegini. Ini kerana acara ini merupakan acara sukan keluarga yang memberi peluang kepada peserta untuk menyertai aktiviti sukan seterusnya bercuti bersama keluarga tersayang. Keunikan pulau ini pula menawarkan satu pengalaman yang indah dengan kepelbagaian flora dan fauna, di samping kisah legenda serta mitos yang menarik akan memberikan pengalaman berharga kepada para peserta dan keluarga mereka.” kata beliau.

Sebagai mana lazimnya, LADA menyediakan kemudahan fasiliti sepanjang acara ini berlangsung dan menjadi penyelarasan hubungan antara penganjur bersama agensi-agensi lain di Langkawi. Antara fasiliti kemudahan yang disediakan ialah kemudahan di tapak pelepasan acara seperti penyediaan khemah, genset, tandas dan penghadang jalan (barricade) keselamatan. LADA turut menyediakan kemudahan bantuan keselamatan di sepanjang acara ini berlangsung. Selain itu, acara ini juga melibatkan penglibatan tertinggi daripada komuniti setempat dengan 1,050 orang petugas sukarelawan yang bertugas sepanjang acara ini berlangsung.

“LADA sentiasa memberi sokongan kepada pengurusan acara (event management) yang ingin menjadikan Langkawi sebagai lokasi penganjuran acara bertaraf dunia. Pada tahun ni sebanyak lapan (8) acara bertaraf antarabangsa telah dianjurkan dan antaranya ialah Langkawi International Regatta Perdana 2022, 8th Carrom World Championship 2022 dan Langkawi Legendary Ride 2022. Hasrat LADA adalah untuk menjadikan Langkawi sebagai hub penganjuran acara berasaskan sukan (sport tourism) selain destinasi pelancongan keluarga utama.” tambah beliau lagi ketika ditemui selepas acara pelepasan peserta IRONMAN.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
5 November 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.