Langkawi sekali lagi menjadi tumpuan penggemar sukan larian apabila lebih daripada 2,600 orang pelari maraton daripada 31 buah negara telah menyertai Langkawi International Half Marathon (LIHM) 2023. LADA masih mengekalkan kolaborasi bersama Persatuan Langkawirunners bagi penganjuran kali kedua acara ini.

Acara ini menyasarkan peminat sukan maraton dan atlet-atlet bagi merancakkan semula aktiviti pelancongan di Pulau Langkawi. Penganjuran acara ini juga dapat membantu pengusaha-pengusaha dalam sektor pelancongan di pulau ini mendapat manfaat ekonomi dan mengembalikan kemeriahan sektor pelancongan Langkawi. Terdapat tiga (3) kategori yang dipertandingkan iaitu kategori 21km (half marathon), 10km dan 5km (fun run).

Selain itu, keunikan LIHM2023 pada tahun ini ialah laluan bagi kategori 21km (haft marathon) akan merentasi kawasan sawah bendang di mukim Ulu Melaka atau lebih dikenali sebagai Mahsuri Rings. Kawasan ini terjadi akibat hentaman meteor pada satu ketika dahulu sehingga terbentuk tanah pamah yang dikelilingi oleh bukit bukau yang berbentuk seperti cincin jika dilihat daripada udara. Malah, pada tahun ini juga buat julung kalinya pelepasan peserta larian dilakukan di dalam bangunan (indoor) iaitu di Mahsuri International Exhibition Center yang menjadikan acara LIHM ini yang pertama membuat pelepasan di dalam bangunan (indoor) di Malaysia.

Langkawi sememangnya amat sinonim dengan penganjuran acara pelancongan berasaskan sukan (sport tourism) seperti IRONMAN Malaysia, Langkawi Legendary Ride dan Langkawi Swimming Festifal. LADA menyambut baik penganjuran acara Langkawi International Half Marathon 2023 ini. Peningkatan jumlah peserta dan negara menunjukkan acara ini berpotensi untuk diangkat sebagai acara signature tahunan di Langkawi. Apa yang lebih menarik produk pelancongan sukan (sport tourism) diusahakan oleh anak tempatan Langkawi.

Sebagai tanda sokongan, LADA telah menyediakan kemudahan fasiliti sepanjang acara ini berlangsung dan menjadi penyelarasan hubungan antara penganjur bersama agensi-agensi lain di Langkawi. Pihak penganjur menyasarkan 8,000 orang pengunjung yang terdiri dari ahli keluarga, penyokong dan peminat sepanjang acara diadakan.

LADA sentiasa memberi sokongan kepada penganjur acara yang ingin menjadikan Langkawi sebagai lokasi penganjuran acara bertaraf dunia. Penganjuran acara pelancongan ini dilihat mampu menyemarakkan dan mengaktifkan semula sektor pelancongan di pulau ini. Perkara ini penting bagi memastikan sektor pelancongan di Langkawi terus berdaya saing seterusnya memartabatkan semula kedudukannya sebagai destinasi pelancongan dan lokasi penganjuran acara pelancongan berasaskan sukan (sport tourism) yang terunggul di rantau Asia.

-TAMAT-
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
3 Disember 2023
_____________________________________________________________________________________________________________________________

Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.
_____________________________________________________________________________________________________________________________

Maklumat Tambahan Acara
i. Perbandingan Penyertaan

2022 2023
Jumlah penyertaan 2,300 2,613
Peserta Malaysia 2,220 2,434
Peserta Antarabangsa 80 166

ii. Jumlah Negara – 31 buah negara

• Malaysia • Chinese Taipei • American Samoa
• Indonesia • Netherlands • Poland
• Philippines • People’s Republic of China • Myanmar
• Kenya • South Africa • Mexico
• Great Britain • Thailand • Morocco
• Brunei Darussalam • France • India
• Singapura • Denmark • Italy
• Japan • Belgium • Egypt
• Germany • Sri Lanka • Ireland
• United States of America • Maldives • Australia
• Republic of Korea