Buat julung kali Langkawi telah terpilih sebagai tuan rumah kepada acara Meetings, Incentives, Conferences & Exhibitions (MICE) iaitu Routes Asia 2024 yang dijadualkan berlangsung mulai 27 hingga 29 Februari 2024 bertempat di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC). Program ini merupakan peristiwa penting bagi Langkawi untuk meletakkan pulau ini di peta pelancongan dunia.

LADA bersama rakan strategik iaitu pihak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Tourism Malaysia telah berjaya membida pihak Informa Markets, iaitu penganjur Routes Asia untuk memilih Langkawi sebagai lokasi penganjuran acara MICE terkemuka tersebut.

Matlamat utama acara MICE ini adalah untuk memacu pembangunan perkhidmatan udara di rantau Asia Pasifik. Sebagai satu-satunya acara MICE berkaitan pembangunan laluan penerbangan, Routes Asia menyediakan platform kepada syarikat penerbangan, pihak berkuasa pelancongan, agensi kerajaan, agensi berkaitan penerbangan di rantau ini untuk bertemu, berkongsi dan membincangkan berkaitan pembangunan rangkaian perkhidmatan udara. Dianggarkan seramai 1,000 delegasi akan menyertai acara tersebut dengan anggaran 3,000 temu janji akan diadakan. Langkawi sebagai sebuah destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa semangnya menawarkan lokasi penganjuran acara MICE yang ideal dengan tawaran keindahan alam semula jadi yang indah dan ajaib serta tawaran fasiliti MICE yang bertaraf antarabangsa.

Dalam pada itu, LADA akan melanjutkan Program Insentif Penerbangan Sewa Khas 2023 ke tahun hadapan. Program insentif penerbangan merupakan salah satu faktor utama bagi kejayaan sesebuah syarikat penerbangan untuk memulakan penerbangan ke pulau ini. Program insentif penerbangan ini mula ditawarkan oleh LADA bermula Blueprint Pelancongan Langkawi. Antara insentif baru yang ditawarkan pada tahun 2024 ialah Insentif Penerbangan Sulung iaitu syarikat penerbangan baharu yang memulakan laluan baru ke Langkawi dan mengekalkan penerbangan berjadual tersebut bagi tempoh sekurang-kurangnya satu (1) tahun layak mendapat insentif bernilai USD10,000.00.

Kejayaan yang terkini adalah apabila syarikat penerbangan Flydubai akan memulakan penerbangan sulung dari Dubai – Pulau Pinang – Langkawi mulai 10 Februari 2024. Penerbangan ini dijadualkan setiap hari seminggu. Pembukaan laluan ini akan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk Langkawi dengan kedatangan para pelancong daripada Asia Barat, Eropah, Afrika dan lain-lain. Flydubai yang beroperasi di Terminal 2, Dubai International Airport, United Arab Emirates (UAE) menawarkan pengalaman penerbangan yang selesa kepada para penumpang daripada lebih 120 destinasi ke Langkawi, Malaysia melalui hab penerbangan Dubai, UAE.

LADA telah mula melobi syarikat Flydubai mulai 2019 iaitu sebelum berlakunya pandemik COVID-19. Perbincangan antara kedua pihak diteruskan kembali pada November 2022, di mana pihak Flydubai telah menyatakan hasrat kepada LADA untuk memulakan penerbangan berjadual ke Langkawi dan LADA turut mempromosikan insentif penerbangan yang ditawarkan. Pada 21 September 2023, syarikat tersebut telah membuat pengumuman rasmi berkaitan laluan penerbangan terus berjadual ke Langkawi. Pertemuan antara kedua pihak diteruskan semasa World Travel Market (WTM), London, United Kingdom baru-baru ini bagi memastikan kelancaran kerjasama strategik bagi melaksanakan program promosi yang akan diadakan. Dengan adanya pertambahan penerbangan Flydubai mulai Februari 2024, LADA menyasarkan 190 penerbangan berjadual setiap minggu akan tiba ke Langkawi.

LADA amat yakin dengan adanya inisiatif penerbangan berjadual dan penerbangan sewa khas ini akan meningkatkan lagi kemudahsampaian pelancong melalui laluan udara dan sekali gus meningkatkan kembali kehadiran pelancong antarabangsa ke Langkawi pada tahun hadapan dengan sasaran anggaran 3 juta orang pelancong bagi tahun 2024.

LADA berharap semua pihak terutamanya pemain industri pelancongan termasuk komuniti Langkawi turut memainkan peranan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memajukan pelancongan pulau ini bersama-sama Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

-TAMAT-
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
19 Disember 2023
_____________________________________________________________________________________________________________________________

Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.
_____________________________________________________________________________________________________________________________