Langkawi, 17 Oktober 2022 – Jalinan kerjasama di antara Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Grab Malaysia bakal meningkatkan imej industri pelancongan Langkawi. Peluang ini telah membawa kepada persetujuan kedua-dua pihak untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) di Kompleks LADA pada 12 Oktober 2022 yang lalu.

Melalui kerjasama ini LADA akan memperluaskan lagi jaringan dan kebolehan penggunaan teknologi dalam industri pelancongan melalui penggunaan aplikasi Grab Malaysia yang akan dikemas kini dan disesuaikan dengan landskap industri pelancongan di Langkawi. Dalam pada itu, pihak Grab Malaysia juga bersetuju untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada usahawan dan pemain industri pelancongan untuk mempromosikan produk dan barangan mereka dalam aplikasi Grab.

Usaha ini juga dilihat dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Langkawi sebagai cashless island sebagaimana di dalam Agenda Pulau Digital dan seterusnya mempromosikan Langkawi sebagai digital tourism hub yang pertama di Malaysia.

“Kita melihat kerjasama ini akan memberi ruang dan peluang terutama kepada usahawan kecil dan sederhana Langkawi untuk meningkatkan promosi dan jualan produk masing-masing. Selain itu, produk pelancongan di Langkawi juga dapat menggunakan platform Grab dalam melaksanakan urusan jual beli bersama pelancong dan sekali gus menyokong kepada usaha menjadikan Langkawi sebagai cashless island.” kata Nasaruddin bin Abdul Muttalib.

Beliau turut menjelaskan bahawa melalui jalinan persefahaman ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama membangunkan Langkawi Digital Maps yang mengandungi maklumat pelancongan seperti kemudahan penginapan, premis perniagaan, produk pelancongan dan juga maklumat yang berkaitan bagi kegunaan pelancong yang berkunjung ke Langkawi.

“Ini merupakan satu inisiatif yang baik dan mampu memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pelancong domestik mahupun antara bangsa untuk mendapatkan maklumat dengan pantas dan efektif semasa bercuti di Pulau Langkawi. Hospitaliti atas talian sebegini merupakan yang pertama bakal ditawarkan kepada pelancong pulau legenda ini.” Ulas Nasaruddin ketika ditemui.

Diharap kerjasama ini dapat memberikan manfaat kepada sektor pelancongan Langkawi amnya dan mengembalikan semua limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
17 Oktober 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.