Langkawi, 25 Ogos 2022 – Ekspedisi Geopark Transborder Sea Kayak anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merupakan program pertama kerjasama antara Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) dan Satun UNESCO Global Geopark (SUGG) pasca pandemik.

Program ini dilaksanakan untuk mengeratkan semula hubungan baik di antara dua negara dan wilayah geopark selepas terputusnya hubungan akibat serangan pandemik COVID-19 selama dua (2) tahun. Jalinan hubungan ini dilihat bakal memberikan manfaat terutamanya dalam perkongsian ilmu akan aktiviti pemuliharaan, pembangunan dan promosi geopark.

“Hubungan antara kedua-dua geopark Langkawi-Satun telah mula terjalin pada tahun 2019 melalui perjanjian sebagai Geopark Transborder. Kita berharap, aktiviti pemuliharaan geologi dan promosi geopark dapat dipertingkatkan selepas ini, seterusnya membantu memasarkan semula kedua-dua wilayah geopark ini sebagai salah satu destinasi geopelancongan terbaik di dunia.” kata Wan Kamarul Faisal bin Wan Kamardin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Perancangan & Pembangunan) LADA.

Beliau turut menjelaskan bahawa, ekspedisi kayak laut ini disertai oleh 40 orang peserta yang terdiri daripada wakil 10 buah agensi kerajaan dan swasta di pulau ini. Sesi kayuhan kayak ini akan mengambil masa selama 6 jam dengan laluan sejauh 48 km. Peserta akan membuat kayuhan bermula dari Tanjung Dendang, Langkawi dan akan berakhir di Jeti Tamalang, Satun.

Program ini adalah salah satu program yang telah dibincangkan bersama TYT Gabenor Satun, Tuan Ekkarat Leesen dalam lawatannya ke Langkawi pada 13 hingga 14 Ogos 2022 yang lepas.

Pelbagai bidang kerjasama akan diteruskan oleh kedua-dua wilayah ini supaya pelancong dapat menikmati pengalaman hebat, kepelbagaian biodiversiti serta keunikan budaya antara dua buah negara supaya industri pelancongan kedua-dua wilayah geopark ini kembali menjadi pilihan pelancong.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
25 Ogos 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.