YBHG. DATO’ HASLINA BINTI ABDUL HAMID
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF LADA

Tarikh : 10 Januari 2024
Masa : 4.00 petang
Tempat : Bella Vista Waterfront Langkawi

SALUTASI

KATA ALUAN

Terima kasih saudara/saudari pengerusi majlis,
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salutasi
(Seperti di Lampiran)

PENGENALAN

1. Izinkan saya memulakan ucapan pada petang ini dengan merafakkan lafaz syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya jua kita dapat menjayakan Langkawi Tourism Gathering siri pertama bagi tahun 2024. Masih belum terlewat lagi untuk saya ucapkan Selamat Tahun Baharu 2024 kepada semua yang hadir.

2. Izinkan saya mengucapkan juga selamat datang kepada rakan industri kita yang hanya Berbahasa Inggeris.

Ladies and gentlemen,

3. It gives me immense pleasure to meet all of you at the first Langkawi Tourism Gathering of 2024. Let us take a moment to appreciate the achievements of 2023 and welcome the new year with open hearts and minds. I wish you all a very Happy New Year 2024!”

4. Semoga kita dapat mulakan tahun baharu ini dengan azam serta iltizam yang tinggi serta bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengembalikan kegemilangan pulau yang kita kasihi ini.

5. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Bahagian Pelancongan yang diterajui oleh Dr. Azmil Munif Bin Mohd. Bukhari yang telah menjayakan penganjuran majlis kita pada petang ini.

6. Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pemain industri pelancongan yang hadir pada hari ini kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama berkumpul dan beramah mesra, mengukuhkan perhubungan serta membincangkan peluang-peluang kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan demi pembangunan Langkawi.

PEMULIHAN INDUSTRI PELANCONGAN

7. Kita sedia maklum bahawa industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pada tahun 2019, industri pelancongan telah merekodkan sumbangan 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan nilai RM240.2 bilion. Manakala, guna tenaga dalam industri pelancongan mencatatkan 3.6 juta orang bersamaan 23.6 peratus keseluruhan guna tenaga Malaysia.

8. Pada tahun yang sama, Langkawi telah mencatatkan kehadiran pelancong yang tertinggi iaitu 3.92 juta orang pelancong.

9. Walau bagaimanapun, kita hanya mampu merancang, Allah Subhana Wa Taala jua lah penentu segala-galanya. Ternyata, kita amat terkesan dengan penularan wabak COVID-19 pada tahun 2020 dan aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan industri pelancongan, seperti penginapan, pengangkutan, membeli-belah, makanan dan minuman dan penganjuran acara-acara terpaksa berhadapan dengan saat-saat yang paling menyulitkan.

10. LADA telah mengambil inisiatif mewujudkan dan melancarkan Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi atau lebih dikenali sebagai HELANG pada 31 Mei 2020. Pelan ini merangkumi tiga (3) teras utama iaitu Pelancongan Yang Selamat, Budaya Setempat dan Kelestarian dan Kepelbagaian Ekonomi. Matlamat pelan ini adalah untuk memulihkan ekonomi Langkawi yang terjejas daripada penularan pandemik COVID-19.

11. Selain itu, LADA juga turut bekerjasama dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia bagi memulakan inisiatif Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) bermula 15 November 2021 agar sektor pelancongan pulau ini boleh dipulihkan semula dengan norma baru.

12. Alhamdulillah, selepas pelaksanaan pelan serta inisiatif ini, prestasi pelancongan Langkawi telah menunjukkan perkembangan yang positif dengan kehadiran pelancong yang semakin meningkat setiap tahun. Kini tibalah cabaran kita semua untuk meningkatkan kembali prestasi pelancongan pulau ini serta negara agar terus cemerlang dalam fasa endemik.

PRESTASI PELANCONGAN 2023

Hadirin yang dikasihi sekalian

13. Saya amat berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian yang telah diraih bagi tahun 2023. Walaupun Langkawi dihujani dengan pelbagai cabaran dalam usaha mengembalikan kegemilangan industri pelancongan di pulau ini. Saya berharap momentum kecemerlangan ini dapat dilonjakkan lagi pada tahun ini.

Statistik Pelancongan 2023

14. Kita sedar pada awalnya, sektor pelancongan Langkawi masih dalam peringkat pemulihan akibat impak wabak COVID-19. Namun begitu, prestasi pelancongan pulau ini telah menunjukkan tanda positif dengan peningkatan kehadiran pelancong seramai 2.81 juta orang dan jumlah pendapatan pelancongan bernilai RM4.4 bilion.

Pengiktirafan dan Anugerah 2023

15. Selain itu, tahun 2023 melabuhkan tirai dengan melakar kejayaan Langkawi dan juga LADA dengan penerimaan enam (6) pengiktirafan dari badan dan pertubuhan NGO serta media. Antara anugerah yang telah diterima ialah:

i. Asian Tourism & Hospitality (ATH) Awards 2022-2023 – “Leading Govermment Tourism Board of The Year”;

ii. IBR Global Maritime And Aerospace Awards – “Government Service Delivery for MICE Tourism Promotion Strategies”;

iii. The Best Resorts category The Rest of Asia: Readers’ Choice Awards – No 1. The Ritz-Carlton Langkawi, Malaysia & No 4. The Datai Langkawi, Malaysia

iv. World Islamic Tourism Award – “Best Wedding Destination”;

v. Top Islands: Readers’ Choice Awards (Conde Nast Traveler) – “Top 10 Islands In The World” (Langkawi Ranked No.5); dan

vi. Travel + Leisure Readers’ 25 Favorite Islands in the World of 2023 – No. 9 dengan Skor Pembaca: 93.65.

11. Selain itu, apa yang lebih bermakna lagi, apabila status Langkawi sebagai UNESCO Global Geopark telah dilanjutkan selama empat tahun lagi apabila diberi penarafan kad hijau buat kali keempat berturut-turut sejak tahun 2007.

CABARAN DAN EKSPEKTASI TAHUN 2024.
Hadirin yang dikasihi sekalian

12. Dalam kita melangkah ke tahun 2024, kita perlu cakna dan sentiasa melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan penuh rasa tanggungjawab, berdedikasi dan sentiasa menambah baik mutu produk serta perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan.

13. Membangunkan produk dan perkhidmatan pelancongan berprestasi tinggi hanya dapat dicapai dengan adanya usaha untuk terus maju, berinovatif dan bermandiri menghadapi cabaran.

14. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PATA, tahun ini industri pelancongan masih dalam fasa pemulihan dan keadaan industri di rantau Asia Pasifik dijangka akan pulih pada tahun 2025 dari sudut pergerakan dan ketibaan pelancong.

15. Oleh itu, tahun ini, LADA menyasarkan jumlah kehadiran pelancong ke Langkawi sebanyak 3 juta orang pelancong dengan anggaran pendapatan pelancongan RM5.9 bilion.

16. Sasaran ini bukan hanya satu cabaran, tetapi merupakan satu inspirasi untuk kita terus bekerja keras dan berkongsi matlamat ke arah kejayaan yang lebih besar.

17. LADA juga akan terus berusaha untuk memastikan sasaran ini berjaya dicapai dengan menggandakan pelaksanaan tindakan strategik serta bekerjasama erat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui agensi-agensi di bawah kementerian tersebut seperti Tourism Malaysia khasnya dalam pelaksanaan promosi pelancongan domestik dan antarabangsa bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

18. Antara perancangan yang LADA akan laksanakan adalah seperti:

i. Mengadakan sesi libat urus bersama stakeholder utama di pasaran UAE terutamanya di Dubai bagi memastikan laluan penerbangan berjadual yang akan dilancarkan pada 10 Februari ini terus kekal dan menjadi pintu masuk antarabangsa yang utama dan terus membawa pelancong dari serta dunia ke Langkawi;

ii. Selain itu, siri pertemuan dengan syarikat penerbangan di destinasi antarabangsa yang lain akan diteruskan bagi menambah laluan penerbangan secara terus ke Langkawi terutama dari China, India dan beberapa buah negara Eropah;

iii. LADA akan menyertai 12 program promosi utama antarabangsa antaranya ialah:

a. The Asia Pacific Incentives and Meetings Event (AIME), Australia (9 – 21 Januari 2024);
b. Outbound Travel Mart (OTM), India (8 – 10 Februari 2024);
c. ITB Berlin, Germany serta misi jualan di Amsterdam & Poland (5 – 7 Mac 2024) dan
d. PATA Travel Mart, Kazakhstan (18–20 September 2024) dan lain-lain.

iv. Manakala bagi program promosi domestik juga tidak ketinggalan dengan lapan (8) program telah dirancang pada tahun ini;

v. LADA juga akan terus akan menerima dan menyelaras FAM Trip ke produk-produk pelancongan, hotel penginapan dan juga restoran; dan

vi. Selain FAM Trip, engagement dengan KOL (Key Opinion Leader) atau juga dikenali dengan Influencer juga akan terus dipergiatkan.

19. Beberapa isu seperti kemudahsampaian melalui jalan laut perlu di diperhalusi, ditambahbaik dan ditangani bersama agensi yang berkaitan. Selain itu, isu kebersihan dan juga isu jumlah anjing liar yang semakin meningkat di Langkawi juga perlu diberi perhatian demi menjaga imej pulau ini sebagai destinasi pelancongan utama di negara ini.

20. Sebanyak 20 acara pelancongan termasuk 6 acara ikonik yang telah dirancang sepanjang 2024 dengan tema yang berbeza akan dianjurkan. Antara acara ikonik yang bakal diadakan ialah:

i. 20th Royal Langkawi Internasional Regatta 2024 (15 – 20 Jan.);
ii. Routes Asia 2024 (16 – 18 Feb.);
iii. Langkawi Legendary Ride (7 Sept.);
iv. Ironman Malaysia & Ironman 70.3 Langkawi (11-12 Okt.); dan
v. Langkawi International Half Maraton (7 Dis.)

21. Ingin saya tekankan bahawa perancangan yang dirangka oleh LADA ini adalah untuk kita laksanakan secara bersama. Saya berharap agar usaha LADA dalam memperkasa dan mengembalikan kegemilangan Langkawi sebagai sebuah destinasi pelancongan utama ini akan mendapat sokongan padu dan kerjasama penuh daripada semua pihak terutamanya penggiat industri, pihak swasta, NGO, komuniti serta pemegang taruh berkaitan.

PENUTUP

Hadirin yang dikasihi sekalian

22. Sesungguhnya tahun 2024 dijangka akan memberi cabaran yang lebih besar. Malah tahun ini juga amat penting bagi menentukan momentum Tahun Melawat Kedah 2025 dan juga Tahun Melawat Malaysia 2026. Oleh itu marilah kita bersama-sama membina kejayaan demi kesejahteraan Langkawi.

23. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun:

Berjalan dari Ulu Melaka,
Singgah mandi di Lubuk Semilang,
Cekalkan hati gandakan usaha,
Industri pelancongan kembali gemilang.

Sekian.
Wabillahi Taufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.