YBHG. DATO’ HASLINA BINTI ABDUL HAMID
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF LADA

TARIKH: 17 JANUARI 2023 (RABU)
MASA: 10.00 PAGI

Tempat : Panggung Seni, Kota Mahsuri

SALUTASI

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillahi rabbil alamin wassalatu wassalamu ala asrofil anbiya-i wal mursalin

Terima kasih tuan/puan pengacara majlis dan pembaca doa,

1. YBrs. Ir. Mohd. Fisal bin Ismail
Pengarah
JKR Negeri Kedah

2. YBrs. Tuan Wan Kamarul Faisal Bin Wan Kamardin
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif
Sektor Perancangan & Pembangunan
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)

3. YBrs. Tuan Ahmad Fuad bin Che Ani @ Abd Ghani
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif
Sektor Pengurusan
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)

4. YBrs. Ir. Waznah Binti Abdul Aziz
Pengarah
JKR Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP)

5. YBrs. Ir. Ts. Khairul Azlan bin Abdullah
Jurutera Daerah
JKR Daerah Langkawi
Selaku Pegawai Penguasa

6. Wakil Tricyrsmasa (M) Sdn. Bhd
Selaku Kontraktor Utama

7. Pengurus-pengurus Bahagian dan Unit,

8. Pegawai-pegawai dan kakitangan LADA dan JKR yang dikasihi sekalian.
KATA ALUAN

1. Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya kita dapat bersama-sama pada hari ini dalam Majlis Penyerahan Projek Meroboh dan Membina Semula Kemudahan Jeti Pendaratan Pelancong Gua Cherita, Langkawi, Kedah Darul

Aman.

2. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya dan khususnya YBrs. Ir. Mohd. Fisal bin Ismail, selaku Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah yang telah banyak membantu dan menerajui pelaksanaan projek ini.

3. Sesungguhnya projek ini merupakan touch point kepada pelancong dan komuniti setempat terutama kepada Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad yang menguruskan salah satu produk eko-pelancongan sebagai mata pencarian utama penduduk Kampung Kilim ini.

LATAR BELAKANG PROJEK

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

4. Sebagaimana semua sedia maklum, Langkawi telah diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark yang ke-52 sejak tahun 2007. Pengiktirafan ini membuktikan LADA menjadi perintis kepada agenda pemeliharaan dan pemuliharaan warisan bumi yang menitikberatkan pembangunan lestari serta penglibatan komuniti setempat. Agenda ini amatlah bertepatan dengan fungsi dan peranan LADA dalam memacu industri pelancongan di Langkawi.

5. Melalui RMK-11, LADA telah diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Projek Meroboh dan Membina Jeti Pelancongan di Gua Cherita. Tujuan projek ini adalah untuk menyediakan sebuah kemudahan pendaratan yang selesa dan selamat kepada pelancong yang ingin berkunjung ke lokasi ini. Alhamdulillah, projek ini telah berjaya disiapkan pada bulan 13 November 2023 yang lalu.

6. LADA amat berbesar hati dapat melaksanakan satu lagi projek yang dapat memberi manfaat kepada penduduk dan pelancong dengan menyediakan kemudahan infrastruktur yang berkualiti seperti jeti pelancongan ini seiring dengan matlamat yang telah ditetapkan pada tahun ini iaitu untuk menerima kedatangan pelancongan seramai 3 juta orang.

OUTCOME DAN IMPAK PROJEK

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

7. Menjadi hasrat LADA dengan terlaksananya projek ini dapat menguatkan lagi kedudukan serta imej pulau Langkawi sebagai destinasi eko-pelancongan terutamanya di Kawasan Kilim Karst Geoforest Park. Selain itu, dengan adanya kemudahan jeti yang baik ini akan dapat menarik minat lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke Gua Cherita bagi menyingkap pengisahan legenda yang terkenal iaitu Hikayat Merong Mahawangsa. Hikayat yang menceritakan mengenai Puteri Cina dan Putera Rom yang diserang garuda dan gua ini menjadi tempat persembunyian Puteri Cina tersebut.

8. Apa yang lebih penting, dengan adanya jeti baru ini sekali gus akan dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan kepada pelancong dan penduduk tempatan serta meningkatkan kualiti produk serta perkhidmatan pelancongan terutamanya di terutamanya di Kawasan Kilim Karst Geoforest Park dan Langkawi amnya.

UCAPAN PENGHARGAAN

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

9. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pegawai-pegawai Kementerian Kerja Raya selaku tulang belakang projek, keseluruhan pasukan projek JKR Negeri Kedah yang menjadi teraju utama dalam pelaksanaan projek pembinaan ini, para perunding yang menyelia dan mengawasi projek serta pihak kontraktor yang berjaya menyiapkan projek ini.

10. Tidak lupa juga kepada Bahagian Kejuruteraan Teknikal dan Pelancongan LADA serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan projek ini daripada peringkat perancangan, reka bentuk, perolehan, pembinaan dan penyerahan projek.

11. Saya juga berharap segala aduan kecacatan oleh pihak pengguna dalam tempoh tanggungan kecacatan perlu diberi perhatian dan diambil tindakan segera untuk kebaikan bersama. Semoga projek infrastruktur ini dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat dan juga para pelancong.

PENUTUP

12. Dengan itu, saya akhiri ucapan saya ini sekali lagi dengan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah menjayakan pelaksanaan Projek Meroboh dan Membina Semula Kemudahan Jeti Pendaratan Pelancong Gua Cherita, Langkawi ini.

Sekian.
Wabillahi Taufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.