Seramai 178 orang pelancong dari Chengdu, China telah selamat mendarat ke Langkawi. Penerbangan sewa khas pertama bagi tahun ini merupakan penerbangan terus dari negara China ke Langkawi, Malaysia. Sehingga kini, sebanyak 8 penerbangan sewa khas akan diteruskan daripada Chengdu, China ke Langkawi dengan anggaran keseluruhan penumpang seramai 1,480 orang.

Untuk rekod, Langkawi telah menerima sebanyak 10 penerbangan sewa khas pada tahun 2023. LADA akan meneruskan insentif bagi penerbangan sewa khas (Chartered Flight). LADA juga akan menawarkan insentif tambahan bagi penerbangan terus dan berjadual dari destinasi baharu ke Langkawi serta perlu mengekalkan jadual penerbangan sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan.

YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif LADA dan En. Mohd Amin Yahya, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia telah sama-sama menyambut kedatangan penerbangan sewa khas pertama ke Langkawi pada tahun ini. Turut serta dalam majlis sambutan adalah pihak Pejabat Daerah Langkawi, pihak Batik Air, kakitangan MAHB, para pemain industri pelancongan Langkawi dan lain-lain.

Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan tradisional Melayu dan tarian singa daripada Persatuan Chung Hwa Langkawi bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Bagi merancakkan lagi Airline Connectivity ke Langkawi, LADA sedang berunding dengan sebuah agensi pelancongan dari Poland yang sedang merancang untuk mengadakan sekurang-kurangnya 30 penerbangan terus ke Langkawi dari Poland bagi tempoh 3 tahun bermula dari bulan Oktober sehingga Mac iaitu ketika musim sejuk di rantau tersebut.

LADA berharap semua agensi dan semua pihak dalam industri pelancongan terus meningkatkan kualiti perkhidmatan dan tahap hospitaliti serta ketersediaan untuk menerima lebih ramai pelancong untuk datang ke Langkawi.

#LangkawiDevelopmentAuthority #LADA #NaturallyLangkawi #LangkawiUNESCOGlobalGeopark #LangkawiCharterFlight #ExploreLangkawi #TravelToLangkawi