Tarikh : 3 Jun 2022 (Jumaat)
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Laman Padi, Langkawi

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh dan salam sejahtera.

1. Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana pada pagi Jumaat yang barakah ini dapat kita berkumpul bersama-sama untuk menjayakan Program Kayuhan Santai Alam: Hello Enviroment Siri 2/2022 sempena Karnival Langkawi Geopark 2022.

2. Izinkan saya mengalu-alukan tetamu kita iaitu Yang Berusaha Puan Noor Afifah Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kita pada hari ini.

3. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada hadirin sekalian terutama kepada seluruh peserta kayuhan yang telah meluangkan masa untuk menyertai program pada hari ini. Saya dimaklumkan kayuhan pada pagi ini telah disertai seramai 159 orang. Saya harapkan pada program siri ketiga yang akan dilaksanakan jumlah ini akan meningkat lagi.

4. Sebagaimana yang semua maklum Program Kayuhan Santai Alam ini telah dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Al Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Tunku Temenggong Kedah) pada 19 Mac 2022 yang lalu.

5. Melalui program ini, LADA berusaha untuk mempelbagaikan pendekatan untuk menerapkan sifat sayangkan alam sekitar di kalangan penduduk tempatan. Pada hari juga LADA turut menganjurkan Pesta Bendang mulai 3 sehingga 5 Jun 2022 di Laman Padi. Pelbagai acara telah dirangka antaranya ialah Lawan Tanam Padi, Pertandingan Serkap Ikan, Pertandingan Mengail Puyu dan Futsal Bendang

Hari Berbasikal Sedunia & Hari Alam Sekitar Sedunia

Hadirin yang dihormati sekalian,

6. Penganjuran program ini pada hari ini juga bersempena dengan dua sambutan penting peringkat antarabangsa iaitu Hari Berbasikal Sedunia yang disambut pada 3 Jun dan Hari Alam Sekitar yang disambut pada 5 Jun setiap tahun sebagaimana yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

7. Sebagaimana yang kita ketahui, aktiviti berbasikal bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan badan dan sebagai pengangkutan yang bebas karbon, malah menyebarkan mesej tentang kesedaran terhadap menyayangi alam sekitar serta memberi impak yang positif terhadap iklim dunia.

8. Pada pagi ini kita akan melalui tiga (3) buah kampung iaitu Kampung Kedawang, Kampung Kuala Temoyong dan kampung Padang Putih dengan jarak kayuhan 15 kilometer. Selain aktiviti kayuhan, program perkongsian ilmu dan aktiviti membersihkan kampung juga kan turut diadakan pada pagi ini dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Geng Bersih Kampung.
Karnival Langkawi Geopark 2022

9. Sepertimana tuan/puan sedia maklum, Langkawi UNESCO Global Geopark kini telah meniti usia melebihi sedekad di mana pada 1 Jun 2022 kelmarin, maka genaplah Langkawi Geopark memasuki usia 15 tahun memegang status Global Geopark.

10. Justeru, LADA telah menganjurkan Karnival Langkawi Geopark 2022 selama sebulan mulai 1 Jun hingga 30 Jun 2022 dengan pengisian acara sebanyak 22 buah acara.

11. Langkawi UNESCO Global Geopark merupakan agenda sangat penting dengan memperkenalkan konsep pelancongan lestari. Pendekatan ini membolehkan aktiviti pelancongan yang dijalankan dilaksanakan secara positif kepada pembangunan sosioekonomi tempatan dan meninggalkan impak minima kepada alam sekitar untuk memelihara dan memulihara khazanah Langkawi untuk generasi akan datang.

12. Penganjuran karnival ini juga merupakan satu merupakan langkah awal untuk memaklumkan kepada umum bahawa pulau ini akan dinilai bagi kali keempat oleh pihak UNESCO pada tahun hadapan (2023).

13. Misi Penilaian Semula ini merupakan satu proses semakan oleh pihak UNESCO bagi memastikan pengurusan Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) memenuhi kriteria yang telah ditetapkan iaitu keunikan warisan geologi, pemuliharaan dan pemeliharaan, pendidikan awam dan pembangunan komuniti dari sudut ekonomi dan sosiologi.

Penutup

14. Akhir kata, saya merakamkan ribuan terima kasih kepada semua yang dapat melapangkan masa untuk menjayakan program pada hari ini terutama kepada Yang Berusaha Puan Noor Afifah Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

15. Jadikanlah aktiviti sebegini sebagai sumber inspirasi untuk mendidik keluarga dan komuniti untuk mencintai alam sekitar memandangkan kesedaran kepada alam sekitar perlu dididik di usia masih muda supaya menjadi sifat terpuji dan ikutan generasi berikutnya.

Sekian,

Wabillahi taufik Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.