Langkawi, 16 Januari 2024 – Edisi pembuka tirai kalendar acara pelayaran di Asia Tenggara telah kembali ke Pulau Langkawi bermula 15 hingga 20 Januari 2024.

Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) tahun ini mencatat sejarah penganjurannya bagi edisi ke-20 dengan jumlah penyertaan sebanyak 33 buah kapal layar yang melibatkan kira-kira 250 orang pelayar.

Objektif penganjuran RLIR adalah untuk menempatkan nama

Malaysia dalam kalangan destinasi pelayaran terunggul di samping

mempromosikan Langkawi sebagai hab pelancongan sukan di rantau ini. Edisi ke-20 RLIR telah berjaya menarik penyertaan dari Malaysia, Thailand, Denmark, United Kingdom, Australia, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, New Zealand, China dan juga Vietnam.

RLIR akan menyaksikan pertandingan dalam 7 kelas iaitu Racing, IRC1, IRC2, Multihull, Sports Boats, Club Class dan Ocean Rover/White Sail. 33 buah bot akan bersaing bagi merebut trofi kejuaraan yang dipertandingkan termasuk Prime Minister’s Challenge Trophy (kelas Racing), LADA-IRC Challenge Trophy (kelas IRC 1), RLIR-IRC 2 Challenge Trophy (kelas IRC 2), Commodore’s Challenge Cup (kelas Club), Langkawi Sports Trophy (kelas Sports Boat) dan Malaysia Multihull Challenge Cup (kelas Multihull).

Selain itu, pasukan yang mempamerkan semangat kesukanan tertinggi sepanjang RLIR berlangsung akan menerima anugerah khas, Tunku Abdullah Sportsmanship Award.

RLIR untuk tahun 2024 ini adalah anjuran bersama Belt and Road Regatta (BRR) selain mendapat tajaan daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) – sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Kerajaan Negeri Kedah,

Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), ALJ Global Sdn Bhd, Hypergear, Liquid Marketing Sdn Bhd serta Rainman.

RLIR kali ini juga menerima tajaan media daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM), TRAXXfm, HOMME, Sea Yachting, dan Digital Vision Advertising (DVA). Dalam pada itu, RLIR turut mendapat sokongan daripada Persatuan Pelayaran Malaysia, World Sailing dan Aseanarean Bluewater Alliance.

YBhg. Dato’ Haslina Binti Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif LADA diiringi oleh Dr. Azmil Munif Bin Mohd. Bukhari, Pengurus Bahagian Pelancongan LADA serta pegawai dan kakitangan LADA turut serta ke acara RLIR untuk melihat sendiri kehangatan acara ini yang sedang berlangsung.

#lada #langkawi #lembagapembangunanlangkawi #malaysia #langkawibestwey #LangkawiUNESCOGlobalGeopark #luggp
#MyCEB