27 Januari 2024 (Sabtu) – YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif LADA telah mengunjungi Panggung Seni dan Kota Mahsuri.

Sepanjang tinjauan di Kota Mahsuri, Encik Ku Anniq Nuffail Bin Ku Izham selaku Ahli Lembaga Pengarah Kota Mahsuri Management (LGK) S/B telah memberikan penerangan akan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan kepada pelancong di produk pelancongan ikonik tersebut.

Kota Mahsuri menyimpan pelbagai maklumat mengenai Mahsuri yang merupakan ikon legenda Langkawi. Mahsuri dikatakan seorang wanita suci, telah difitnah hingga dihukum bunuh. Kerana penganiayaan itu, Mahsuri bersumpah,

‘Pulau Langkawi tidak akan makmur selama tujuh keturunan.

Berdasarkan kisah legenda, sumpahan ini dipercayai benar-benar berlaku dan pembangunan Langkawi sebagai destinasi pelancongan terkemuka di rantau ini hanya mula berlaku apabila keturunan ke-tujuh Mahsuri ditemui.

Kota Mahsuri mempunyai nilai tarikan yang tinggi kerana mempunyai pengisian geobudaya yang menarik seperti persembahan cak lempong, teater musikal, nyanyian secara live serta pelbagai aktiviti kebudayaan lain.

Manakala Panggung Seni pula mempunyai potensi unik untuk dimanfaatkan terutamanya bagi penganjuran program berkonsepkan perkongsian ilmu, hiburan, pertunjukan budaya serta lain-lain aktiviti komuniti dan pelancongan.

Usaha berterusan akan dilaksanakan oleh pihak pengurusan Kota Mahsuri bagi memartabatkan budaya dan legenda ulung di Langkawi.