Tarikh : 29 Ogos 2023
Masa : 10.30 pagi
Tempat : Mahsuri International Exhibition Hall Padang Matsirat

KATA ALUAN
Terima kasih saudara / saudari pengerusi majlis,
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salutasi

Pengenalan

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinan-Nya maka kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini dalam Program Mini Business In Transformation Expo 2023 (BITe 2023) di Mahsuri International Exhibition Hall atau lebih dikenali sebagai Dewan LIMA.

2. Saya amat berbangga kerana dapat hadir dan pada hari ini dan ingin mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan kepada Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) kerana sudi menjadikan LADA rakan pintar dan bekerjasama bagi menganjurkan BITe 2023.

3. Di negara kita terdapat beberapa buah agensi yang terlibat dalam pembangunan keusahawanan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MDEC). Pada hari ini komuniti usahawan Langkawi amat bertuah kerana Pernas telah sudi untuk berkongsi ilmu dan memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada usahawan Langkawi.

Perbadanan Nasional Berhad (Pernas)

4. Pernas merupakan sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang bertanggungjawab dalam pembangunan industri francais negara. Pernas giat melaksanakan pelbagai aktiviti dan inisiatif berlandaskan keusahawanan dalam usaha merancakkan industri keusahawanan francais melalui program-program yang dianjurkan. Selain itu, Pernas juga berperanan untuk membangunkan produk tempatan dan mengembangkannya ke luar negara.

5. Program Business In Transformation (BIT) telah diperkenalkan oleh PERNAS pada tahun 2013. BIT merupakan sebuah program yang membantu usahawan kecil dan sederhana menjadi lebih kompetitif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan melalui latihan, bimbingan serta khidmat nasihat sehingga menjadi perniagaan yang berdaya saing dan boleh dimajukan ke arah perniagaan francais.

6. Sejak diperkenalkan, sebanyak 207 buah syarikat dari pelbagai sektor telah mendaftar ke dalam program BIT dan sembilan (9) daripadanya merupakan jenama berasal dari Kedah seperti Oblong Burger, Streeto Pizza, Cendol House dan Hello Pizza.

7. Malah, ada jenama-jenama daripada Program BIT yang telah mendapat lesen Francais dan bergelar francaisor seperti Otak-otak JB, Satey Zul D’Apple dan D’sara Fried Chiken.

Program Mini Business In Transformation Expo 2023 (BITe 2023)

8. Acara Mini BITe pada hari ini merupakan acara kedua pada tahun ini yang diadakan berskala kecil iaitu dengan penyertaan lebih daripada 24 pempamer. Selain untuk memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya warga Langkawi berkenaan peranan, produk, dan perkhidmatan Pernas. Pelaksanaan Mini BITe 2023, ini juga bertujuan membantu para usahawan BIT mempromosikan pakej dan model perniagaan mereka serta membuka peluang kepada para peserta untuk menceburi bidang keusahawanan khususnya perniagaan yang bersistem dan moden ke arah francais.

9. Selain itu, LADA berhasrat untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan masyarakat negeri Kedah khususnya di Langkawi sekali gus menjana ekonomi negeri Kedah.

Keusawanan Pemangkin Ekonomi

10. Bidang keusahawanan telah menjadi pemangkin kepada perubahan dan perkembangan ekonomi negara terutamanya negara-negara maju dan sedang membangun. Bidang keusahawanan telah dilihat sebagai bidang yang dapat meningkatkan ekonomi negara, daya saing negara, pendapatan individu, mengatasi masalah kemiskinan, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru serta meningkatkan kualiti kehidupan.

11. Sektor keusahawanan di Malaysia dilihat semakin berkembang dan berdaya maju. Generasi muda juga telah terlibat dengan pelbagai aktiviti keusahawanan sejak awal lagi. Malah ada di kalangan mereka yang telah mula berniaga ketika masih belajar. Kita amat gembira dengan perkembangan positif ini, dan menjadi hasrat Kerajaan agar lebih ramai anak muda menceburi bidang keusahawanan.

Usaha LADA Memperkasa Usahawan Langkawi

Pelan Hala Tuju Langkawi (HELANG)

12. Bagi mempertingkatkan pemerkasaan usahawan di Langkawi, LADA telah bertindak sebagai pemudahcara kepada usahawan Langkawi bermula pada penghujung tahun 2020 hingga 2022 iaitu setelah berlakunya pandemik COVID-19 mula melanda dunia pada tahun 2020. Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi atau lebih dikenali sebagai HELANG.

13. Pelan ini dibangunkan berdasarkan hasil daripada kajian Rapid Household Income Survey (RaHIS) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dengan kerjasama LADA. Melalui kajian ini, sebanyak 1,714 isi rumah telah ditemu bual melalui telefon semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mendapatkan maklumat berkaitan pendapatan isi rumah kesan daripada penutupan operasi perniagaan, kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Hasil kajian menunjukkan bahawa kesan wabak COVID-19 telah menyebabkan hampir 80% pendapatan isi rumah telah terjejas terutamanya dalam sektor pelancongan.

14. LADA telah menyalurkan bantuan khusus kepada usahawan Langkawi melalui inisiatif khas di bawah HELANG iaitu Projek Ekonomi Baru (PEB). Seramai 1,505 orang telah mendapat manfaat secara langsung dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM826,074.00 bagi tempoh 3 tahun tersebut. PEB HELANG ini telah ditamatkan pada 31 Disember 2022 berikutan industri pelancongan Langkawi telah kembali pulih dan majoriti peserta telah kembali bekerja semula dalam sektor.

Pemudahcara kepada Usahawan Langkawi

15. Selain itu, LADA turut menjadi pemudahcara dalam menawarkan pembiayaan tanpa faedah kepada usahawan mikro Langkawi melalui kerjasama bersama rakan strategik iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Seramai 15 orang usahawan telah diberikan pembiayaan tanpa faedah melalui Skim Pembiayaan Mikro Bangkit oleh Bank Islam dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM232,000.00.

16. LADA juga giat menganjurkan program keusahawanan dengan pelbagai rakan strategik seperti pihak MDEC, NCER, INSKEN, PERNAS dan lain-lain. Malah bagi membantu mempromosikan produk mereka dengan menyertai program/acara utama seperti MAHA, MIHAS dan LIMA.

17. Sehingga Julai 2023, terdapat 200 orang usahawan berdaftar di bawah LADA merangkumi pelbagai bidang seperti produk kesihatan dan kecantikan, barangan cenderamata/kraf tangan dan juga produk makanan/minuman.

18. LADA akan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan pemerkasaan usahawan di Langkawi. LADA telah merangka inisiatif dan program untuk usahawan Langkawi melalui Teras ke-6, Pemantapan Usahawan Ke arah Inovatif dan Berdaya Saing di bawah Pelan Strategik LADA 2022 – 2026.
Inisiatif yang dibangunkan bersifat komprehensif dan mampan dengan mengambil kira segala cabaran yang dihadapi oleh para usahawan. Ia juga akan memberi penekanan khusus dalam membimbing dan membina kekuatan serta daya saing usahawan untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Penutup

19. Saya tahu anda yang hadir untuk mengikuti kursus pada hari ini pastinya mempunyai impian untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Namun anda perlu ingat, perjalanan anda sebagai seorang usahawan ini masih jauh dan bakal berdepan dengan pelbagai cabaran.

20. Oleh itu, saya amat berharap kepada meraka yang hadir pada hari ini rebut lah peluang untuk menimba ilmu dan bertukar pandangan dengan pihak PERNAS. Agar pada satu hari nanti produk Langkawi berjaya dipasarkan di pasaran antarabangsa.

21. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah kepada semua yang berusaha untuk menjayakan program ini. Kepada pihak Pernas jutaan terima kasih sekali lagi kerana sudi membimbing dan berkongsi ilmu bersama usahawan Langkawi. Semoga program pada kali ini memberi manfaat yang berguna kepada semua peserta.

22. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Program Mini Business In Transformation Expo 2023 (BITe 2023)

Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.