Langkawi, 12 Februari – Pulau Langkawi bersedia untuk menjadi hab pelaburan utama sektor pelancongan di Malaysia.

Langkawi, 27 Februari 2023 – Usaha memelihara dan memulihara ekosistem hidupan laut merupakan tindakan yang wajar diberi perhatian serius terutamanya di Pulau Langkawi.

Di Langkawi, lautan amat sinonim dengan kehidupan komuniti setempat dan sebahagiannya bergantung hidup dengan melaksanakan aktiviti pelancongan mahupun perikanan di lautan. Malah, kedudukan pulau ini yang telah mendapat pengiktirafan sebagai Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menunjukkan bahawa Langkawi terlibat secara langsung dalam aktiviti kelestarian lautan.

Oleh itu, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan satu forum khas yang dikenali sebagai Ocean Malaysia Forum: Perkongsian Matlamat Demi Kelestarian

Laut Andaman, Langkawi Sebagai Tapak Permulaan (Demonstration Site).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Pengurusan) LADA, Haji Ahmad Fuad bin Che Ani berkata, “Jalinan kolaborasi Ocean Malaysia ini adalah sebuah inisiatif yang menggunakan pendekatan inter dan multidisiplinari, merangkumi pelbagai kepakaran dan penglibatan pihak berkepentingan. Ini termasuklah bidang ekonomi, undang-undang, geografi, kemanusiaan, etika, sains perikanan dan oseanografi.”

Beliau turut menjelaskan bahawa matlamat utama bagi kolaborasi Ocean Malaysia ini adalah untuk memastikan semua pihak terlibat memahami peranan masing-masing terutamanya dalam menangani cabaran, khususnya dalam isu berkaitan lautan dan persekitaran serta komuniti dan ekosistem di Malaysia.

Kolaborasi Ocean Malaysia tercetus daripada perkongsian kejayaan oleh Ocean Canada yang juga selari dengan aspirasi “Sedekad Sains Laut untuk Pembangunan Lestari (2021-2030)” sebagaimana yang telah disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ocean Malaysia akan digerakkan dengan fasa pertama iaitu persediaan “Stock Taking” mengenai maklumat sedia ada berkaitan sumber laut yang meliputi aspek alam sekitar, sosial, ekonomi, polisi dan governans.

Bengkel Kolaborasi Ocean Malaysia telah dirasmikan oleh Dr. Azmil Munif bin Bukhari, Timbalan Pengurus Bahagian Pelancongan, LADA. Turut hadir bersama adalah Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim, Pengarah LESTARI bagi mewakili UKM. Forum Ocean Malaysia ini telah dihadiri

oleh seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada semua pihak berkepentingan termasuklah ahli akademik, pihak kerajaan, NGO, pihak swasta, dan komuniti setempat.

“Bengkel dan forum Ocean Malaysia (Langkawi) ini akan menjadi pemangkin dalam menggalakkan kerjasama semua pihak yang berkepentingan secara MADANI. LADA berharap agar semua pihak yang hadir pada hari ini dapat berkongsi semua maklumat, pengalaman dan amalan terbaik yang diperlukan untuk keharmonian dan kesejahteraan perairan di Lautan Andaman khususnya dan kepulauan Langkawi amnya. LADA selaku agensi yang bertanggungjawab menguruskan Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) berharap agar usaha-usaha berterusan dapat dihasilkan bagi memberi nilai tambah kepada agenda geopark sama ada dari aspek perlindungan geowarisan, popularisasi geosains mahupun pembangunan geopelancongan.” ulas Haji Ahmad Fuad bin Che Ani lagi.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
27 Februari 2023

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.