Pada 24 Mac 2020, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah melaksanakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama Hospital Sultanah Maliha Langkawi. Program ini merupakan salah satu kaedah LADA menyalurkan bantuan kepada pihak hospital bagi menangani isu bencana yang melanda negara iaitu penularan wabak COVID 19. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Cik Nordiana Nordin, Pengurus Unit Khidmat Korporat, mewakili Ketua Pegawai Eksekutif LADA bersama 2 orang pegawai iaitu En. Norazman Yusuf dan En. Mohd Irfan Sani. Sesi penyampaian sumbangan tersebut disambut mesra oleh Dr. Mansor Ismail, Pengarah Hospital Sultanah Maliha serta petugas hospital. Pihak pengurusan LADA berharap, sumbangan berbentuk makan tengahari kepada petugas-petugas hospital bagi tempoh dua hari mulai hari ini sehingga esok, sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat kerja, mengurangkan beban dan tekanan seterusnya memberikan kekuatan kepada petugas-petugas hospital yang merupakan frontliners dalam usaha menangani wabak pandemik ini. LADA merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada semua petugas yang berada di barisan hadapan dalam perjuangan untuk memastikan masyarakat bebas dan selamat daripada bencana Covid 19. Semoga Allah SWT memberikan kemudahan kepada Malaysia dan mengembalikan kemakmuran dan keselamatan negara sebaikNya.