Tarikh: 27 Mac 2020 (Jumaat)
Masa: 1200 tengahari
Tempat: Ibu Pejabat Polis, Langkawi.

Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menjadualkan beberapa siri program CSR bersama komuniti Langkawi bagi menyokong Kerajaan dalam usaha menangani wabak COVID-19 di negara ini. Susulan atas rasa keprihatinan dan tanggungjawab kepada masyarakat setempat, PLSB telah menyalurkan bantuan berbentuk sumbangan makanan kepada seramai 110 para petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pasukan keselamatan PDRM dan ATM di Langkawi mulai 26 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020. Sesi penyampaian sumbangan ini akan disempurnakan oleh YBhg. Dr. Hezri Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif LADA dengan kehadiran Pemangku Ketua Pegawai Operasi PLSB iaitu En. Ir Abu Hashim bersama 4 orang pegawai syarikat. Program ini diadakan di Ibu Pejabat Polis Langkawi dan disambut baik oleh Tuan Mohd Iqbal, Ketua Polis Daerah Langkawi serta pasukan keselamatan. Harapan pihak syarikat adalah semoga semua pihak terus memainkan peranan masing-masing untuk berhadapan dengan bencana dunia ‘serangan COVID-19’. Dr. Hezri Adnan turut merakamkan ucapan Selamat Hari Polis Kali Ke-213 serta setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan keselamatan Langkawi dan seterusnya mendoakan agar terus diberi kekuatan, kesabaran dan ketenangan untuk menabur bakti kepada masyarakat Langkawi dalam apa jua situasi yang bakal didepani.