LANGKAWI, 10 Februari 2024 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama pihak Tourism Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), agensi kerajaan dan para pemain industri pelancongan Langkawi menyambut ketibaan penerbangan sulung Flydubai dari Dubai, United Arab Emirates (UAE). Dengan adanya pertambahan penerbangan Flydubai ini menjadikan 185 penerbangan berjadual setiap minggu tiba ke Langkawi.

Laluan penerbangan yang ditawarkan oleh syarikat Flydubai ini berlepas dari Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB), UAE ke Lapangan Terbangan Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) bagi hentian selama satu (1) jam seterusnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK). Syarikat Flydubai menggunakan pesawat Boeing 737 MAX bagi laluan ke Malaysia dan penerbangan ini dijadualkan setiap hari seminggu.

“Pembukaan laluan ini akan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk Langkawi dengan kedatangan para pelancong daripada Asia Barat, Eropah, Afrika dan lain-lain. Pembukaan laluan oleh syarikat Flydubai bakal menawarkan pengalaman penerbangan yang selesa kepada para penumpang daripada lebih 120 buah destinasi ke Langkawi, Malaysia melalui hab penerbangan Dubai, UAE,” ujar Datuk Haslina Binti Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.

Dalam pada itu, LADA menawarkan Program Insentif Penerbangan Sewa Khas. Program insentif penerbangan merupakan salah satu faktor utama bagi kejayaan sesebuah syarikat penerbangan untuk memulakan penerbangan ke pulau ini. Program insentif penerbangan ini mula ditawarkan oleh LADA bermula Blueprint Pelancongan Langkawi

“Antara insentif baru yang ditawarkan pada tahun 2024 ialah Insentif Penerbangan Sulung iaitu syarikat penerbangan baharu yang memulakan laluan baru ke Langkawi dan mengekalkan penerbangan berjadual tersebut bagi tempoh sekurang-kurangnya satu (1) tahun layak mendapat insentif penerbangan ini. Dengan adanya insentif sebegini sekali gus akan mampu menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan untuk memulakan penerbangan berjadual ke Langkawi seterusnya meningkatkan kemudahsampaian ke pulau pelancongan ini’ ujar Datuk Haslina Binti Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.

LADA amat yakin dengan adanya inisiatif penerbangan berjadual dan penerbangan sewa khas ini akan meningkatkan lagi kemudahsampaian pelancong melalui laluan udara dan sekali gus meningkatkan kehadiran pelancong ke Langkawi pada tahun ini dengan sasaran anggaran 3 juta orang pelancong.

LADA berharap semua pihak terutamanya pemain industri pelancongan termasuk komuniti Langkawi turut memainkan peranan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memajukan pelancongan pulau ini bersama-sama Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

LADA telah mula melobi syarikat Flydubai mulai 2019 iaitu sebelum berlakunya pandemik COVID-19. Perbincangan antara kedua-dua pihak diteruskan kembali pada November 2022, di mana pihak Flydubai telah menyatakan hasrat kepada LADA untuk memulakan penerbangan berjadual ke Langkawi dan LADA turut mempromosikan insentif penerbangan yang ditawarkan.

Pada 21 September 2023, syarikat tersebut telah membuat pengumuman rasmi berkaitan laluan penerbangan terus berjadual ke Langkawi. Pertemuan antara kedua-dua pihak diteruskan semasa World Travel Market (WTM), London, United Kingdom bagi memastikan kelancaran kerjasama strategik bagi melaksanakan program promosi yang diadakan.

Maklumat tambahan:
Jadual penerbangan Flydubai ke Langkawi adalah seperti berikut:
Flight Number Departure Airport Arrival Airport Depature Time* Arrival Time*
FZ1603 DXB PEN 04:10 15:05
FZ1603 PEN LGK 16:05 16:45
FZ1604 LGK PEN 19:45 20:45
FZ1604 PEN DXB 21:45 01:05

*Waktu tempatan

-TAMAT-
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
9 Februari 2024
_____________________________________________________________________________________________________________________________

Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.
_____________________________________________________________________________________________________________________________
MAKLUMAT KORPORAT

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) diperbadankan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Langkawi (Akta 432) pada 15 Mac 1990 sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia bagi membangunkan Pulau Langkawi serta memajukannya sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

LADA mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah melalui kepimpinan YAB Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Bersama (lantikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri) untuk menerajui Lembaga Pengarah LADA.

Teras LADA mengutamakan pembangunan bersepadu melalui amalan pengurusan terbaik, perancangan strategik dan kolaborasi bersama agensi kerajaan, pihak swasta, Pihak Berkuasa Tempatan, pemain industri dan kepimpinan masyarakat dan komuniti.

Visi
Menjadi agensi peneraju untuk pembangunan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Misi
Menyelaras dan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan melalui amalan pengurusan dan sistem penyampaian yang berkesan.

MAKLUMAT TAMBAHAN ROUTES ASIA 2024

Buat julung kali Langkawi telah terpilih sebagai tuan rumah kepada acara Meetings, Incentives, Conferences & Exhibitions (MICE) iaitu Routes Asia 2024 yang dijadualkan berlangsung mulai 27 hingga 29 Februari 2024 bertempat di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC). Program ini merupakan peristiwa penting bagi Langkawi untuk meletakkan pulau ini di peta pelancongan dunia.

LADA bersama rakan strategik iaitu pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Tourism Malaysia telah berjaya membida pihak Informa Markets, iaitu penganjur Routes Asia untuk memilih Langkawi sebagai lokasi penganjuran acara MICE terkemuka tersebut.

Matlamat utama acara MICE ini adalah untuk memacu pembangunan perkhidmatan udara di rantau Asia Pasifik. Sebagai satu-satunya acara MICE berkaitan pembangunan laluan penerbangan, Routes Asia menyediakan platform kepada syarikat penerbangan, pihak berkuasa pelancongan, agensi kerajaan, agensi berkaitan penerbangan di rantau ini untuk bertemu, berkongsi dan membincangkan berkaitan pembangunan rangkaian perkhidmatan udara. Dianggarkan seramai 1,000 delegasi akan menyertai acara tersebut dengan anggaran 3,000 temu janji akan diadakan.

Langkawi sebagai sebuah destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa sememangnya menawarkan lokasi penganjuran acara MICE yang ideal dengan tawaran keindahan alam semula jadi yang indah dan ajaib serta tawaran fasiliti MICE yang bertaraf antarabangsa.

Routes Asia merupakan sebuah acara Business to Business (B2B) terbesar di rantau Asia Pasifik dengan menemukan semua syarikat penerbangan seluruh Asia, lapangan terbang, pihak berkuasa pelancongan dan influencer industri penerbangan terkemuka di rantau ini. Acara ini merupakan satu-satunya acara pembangunan laluan penerbangan yang didedikasikan khas untuk rantau Asia Pasifik. Acara ini menyediakan platform kepada rantau Asia untuk mengembangkan jaringan penerbangan dan membincangkan peluang pembangunan laluan penerbangan baru di sesuatu destinasi.

Pada tahun 2020, LADA telah dijemput oleh pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk menyertai program MICE ini kerana membolehkan LADA memberi penekanan kepada networking bersama syarikat penerbangan yang bertujuan untuk meningkatkan jaringan penerbangan antarabangsa ke Langkawi.

Setelah ditunda selama hampir 2 tahun, acara Routes Asia ini telah diadakan pada 6 hingga 8 Jun 2022 bertempat di Da Nang, Vietnam dan 14 hingga 16 Februari 2023 berlangsung di Chiang Mai, Thailand. Langkawi telah diumumkan sebagai tuan rumah pada tahun 2024 bagi acara ini setelah LADA membida acara ini dengan kerjasama MAHB dan Tourism Malaysia.

Peranan LADA dalam memastikan kejayaan penganjuran acara ini:
i. Menyediakan lokasi penganjuran
Routes Asia 2024 akan dianjurkan di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC).
ii. Menaja Beberapa Aktiviti/program
· Welcome Dinner
· Pre-tour (product update)