MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR-PELAJAR LANGKAWI (A-KAWI) 2023

Tarikh : 17 Julai 2023 (Isnin)
Masa : 3.00 petang – 4.00 petang
Tempat : Dewan Besar, Kompleks LADA

SALUTASI

Assalamualaikum, Salam Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua dan Salam Malaysia Madani,

1. YBrs. Tuan Haji Ahmad Fuad Bin Che Ani@Abd Ghani
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Pengurusan LADA

2. YBrs. Tuan Rosley Bin Mohamad Satar
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah

3. YBrs. Tuan Mustafa Kamal Bin Ahmad
Timbalan Pengarah (Operasi)
SPRM Negeri Kedah

4. YBrs. Tuan Izham Bin Ibrahim
Ketua Cawangan SPRM Daerah Langkawi

5. Pengurus Bahagian/Ketua Unit, Ketua Jabatan Anak-anak Syarikat LADA
6. Dan seterusnya Delegasi SPRM Negeri Kedah serta Tuan-tuan dan Puan-puan ahli Keluarga LADA sekalian.

PENDAHULUAN

1. Terlebih dahulu marilah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita diberi kesempatan untuk bersama-sama pada petang ini bagi menjayakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah LADA Tahun 2023. Saya difahamkan, program ini diadakan dengan kerjasama strategik daripada pihak SPRM Negeri Kedah. Sekalung tahniah diucapkan kerana berjaya melaksanakan majlis yang berintegriti dan bermanfaat ini yang lebih bermakna dengan kehadiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

2. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran YBrs. Tuan Rosley Bin Mohamad Satar, Pengarah SPRM Negeri Kedah kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kita pada majlis hari ini. Terima kasih juga kepada pihak SPRM kerana berbesar hati untuk menyampaikan ceramah dalam sesi pagi tadi kepada semua warga LADA.

AGENDA PENGUKUHAN INTEGRITI LADA

Hadirin yang dihormati sekalian,

3. Pihak pengurusan tidak mengabaikan pembangunan modal insan di kalangan warga kerja LADA yang merupakan aset penting dan penyumbang kepada kecekapan sistem penyampaian serta kecemerlangan organisasi. Perkara ini penting bagi memastikan LADA menjalankan fungsinya dan bertindak sebagai agensi peneraju industri pelancongan Langkawi dan menjadikan pulau ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

4. Justeru, LADA komited untuk mengekalkan piawaian tadbir urus yang tinggi melalui pelaksanaan empat prinsip keutuhan iaitu integriti, akauntabiliti, ketelusan dan amanah. Hal ini bagi menyemai keyakinan komuniti setempat terhadap keupayaan LADA melaksanakan mandat yang diberikan, selain mengekalkan akauntabiliti dalam sistem penyampaian awam.

5. ‘Integriti’ merupakan salah satu daripada nilai teras utama Keluarga LADA yang ringkasnya dikenali sebagai BIP. (Berpasukan, Integriti, Profesionalisme). Oleh itu, pegangan integriti yang tinggi bukan sesuatu yang baru di kalangan Keluarga LADA dan wajar diteruskan demi keharmonian semua pihak.

6. Untuk makluman semua, LADA sentiasa proaktif dalam menggerakkan agenda pengukuhan integriti. Pelan Antirasuah LADA 2020 – 2024 atau ringkasnya PARLADA 202 – 2024 telah diwujudkan bagi membuktikan kesungguhan ini. Pelan ini merangkumi tiga (3) bidang keutamaan iaitu

i. pentadbiran sektor awam,
ii. tadbir urus, dan
iii. perolehan awam.

7. Pelan ini penting bagi menginstitusikan integriti dalam kalangan warga kerja LADA. Pelan ini juga bertindak bagi menyokong Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 sebagaimana diputuskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada 8 Jun 2018.

8. Pelan ini didukung dengan pelaksanaan 5 objektif strategik, 27 risiko/potensi risiko serta 70 pelan tindakan/inisiatif bagi membendung gejala rasuah di LADA. Pelan ini telah siap sepenuhnya pada tahun 2020 dan telah dilancarkan pada 21 Disember 2020.

IKRAR BEBAS RASUAH

Hadirin yang dihormati sekalian

9. Ikrar Bebas Rasuah (IBR) merupakan satu inisiatif yang telah dibuat oleh SPRM yang bertujuan memberi penekanan dan meningkatkan iltizam untuk kita menjauhi penyalahgunaan kuasa khususnya rasuah. Ia telah dilaksanakan di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di seluruh negara.

10. IBR ini memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang akan dibuat oleh Pengurusan Tertinggi dan warga kerja LADA secara sukarela atas kapasiti sebagai individu. Ini bagi memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan sentiasa komited dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas seharian.

11. Selain itu, prinsip ketelusan dalam melaksanakan sebarang transaksi perkhidmatan awam amat penting demi melonjak paradigma serta memastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan yang telus dan cekap disalurkan kepada komuniti Langkawi. Suka juga saya ingatkan kepada semua warga kerja LADA bahawa kita sebagai penjawat awam mempunyai tanggungjawab yang besar untuk dilunaskan demi merealisasikan agenda kerajaan.

12. Justeru itu, saya sentiasa berharap dan mendoakan agar kita dapat menjauhkan diri daripada melakukan sebarang perlakuan rasuah selama mana kita bertugas di LADA ini. Kebelakangan ini, banyak kita dapat baca di media massa berkaitan tangkapan dan pendakwaan pihak SPRM berkaitan jenayah rasuah di kalangan penjawat awam dan swasta. Ia bukan sahaja melibatkan pegawai peringkat atasan malah turut membabitkan kumpulan pelaksana.

13. Perbuatan rasuah juga akan menyebabkan imej, persepsi dan kepercayaan masyarakat terjejas kepada sesuatu organisasi. Bak kata pepatah, ‘Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga’. Saya amat percaya dan yakin semua warga LADA dapat menjauhi perbuatan ini demi menjaga imej baik diri sendiri, keluarga dan LADA khususnya.

SIGNIFIKAN PERLAKSANAAN IBR ADALAH:

14. Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi warga LADA dengan terlaksananya Majlis IBR ini, kita akan melafazkan janji untuk mencegah jenayah rasuah daripada berlaku di LADA. Ia juga sebagai satu amaran dan peringatan kepada semua agar menjauhi perlakuan rasuah.

15. Diharapkan dengan IBR ini akan meningkatkan kepercayaan awam terhadap jaminan Pengurusan LADA terutama semua pemegang taruh dan pelanggan. Ia merupakan bukti usaha untuk mencegah jenayah rasuah dan LADA telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mencegah jenayah rasuah.

HARAPAN DAN PENUTUP

16. Menjadi harapan saya dan Pengurusan Tertinggi LADA supaya warga kerja LADA terus meningkatkan komitmen dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh kesungguhan, selain menghasilkan kualiti kerja yang cemerlang bagi memastikan segala aspirasi dan matlamat LADA dapat dijayakan.

17. Oleh itu, bagi menjayakan usaha-usaha ini, saya menyeru agar semua warga kerja LADA terus menyokong dan menerapkan amalan integriti dalam setiap amanah tugas yang diberikan. Marilah kita sama-sama doakan semoga momentum kecemerlangan “LADA Bebas Rasuah” diteruskan dan menjadi nilai utama di sanubari Keluarga LADA.

18. Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada tetamu jemputan kita, iaitu YBrs. Tuan Rosley Bin Mohamad Satar, Pengarah SPRM Negeri Kedah kerana sudi memenuhi jemputan kami ini. Tahniah dan sekalung penghargaan juga saya tujukan kepada pihak Urus Setia Unit Integriti LADA yang diterajui oleh Puan Nur Fairuz Shahirah kerana menganjurkan majlis pada hari ini.

19. Akhir kata, carilah rezeki yang halal lagi diberkati dan sentiasalah bersyukur dengan rezeki yang diterima. Bekerjalah bersungguh –sungguh dan berusaha memajukan diri dengan kudrat sendiri.

Sekian,
Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.