Kuala Lumpur, 21 September 2021 – Majlis Menandatangani Perjanjian Cadangan Pembangunan Langkawi Premium Outlet antara BDB, BDBMBI dan LADA telah diadakan hari ini di Dewan Hasil, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Pejabat Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Majlis ini disaksikan oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz serta dihadiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan bin Hashim.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dato’ Asri bin Hamidon; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun, Dato’ Mohd Zafir bin Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad bin Ismail; Timbalan Pengarah Belanjawan Negara, Pejabat Belanjawan Negara, Dato’ Suhara binti Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib.

Pembangunan fasa satu yang dikenali sebagai ‘Malaysia Designer Outlet’ dijangka bermula pada Oktober 2021 dan siap sepenuhnya pada Julai 2022. Fokus diberikan kepada usaha mempromosikan dan menyediakan platform bagi pereka fesyen serta outlet F&B tempatan untuk mengembangkan perniagaan dan bakat mereka kepada pelancong tempatan dan luar negara. Dianggarkan hampir 100 peluang pekerjaan akan dibuka sekali gus membantu merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat. Fasa kedua yang juga merupakan ‘jantung’ projek tersebut akan menyaksikan pembangunan ‘Premium Outlet’ bermula Januari 2022 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2024. Fasa ini akan menawarkan lebih banyak jenama premium antarabangsa pada harga yang kompetitif, justeru membolehkan pembangunan ini menjadi destinasi pelancongan dan tarikan terbaru di Pulau Langkawi.

Sementara itu, Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA berkata, “Pembangunan komersial bersepadu Langkawi Premium Outlet ini dirancang bagi mewujudkan sebuah produk tarikan pelancongan baru yang memiliki kedai-kedai barangan berjenama (branded retail outlets), konsep pembangunan baharu yang pertama kalinya dibangunkan di pulau ini. Kita mengharapkan projek pembangunan ini akan menjadi nilai tambah kepada kemajuan industri pelancongan Langkawi.”

Sumber: Bina Darulaman Berhad (BDB)