Langkawi, 15 Julai 2020 – Mendepani cabaran pembangunan ekonomi di Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan DXN Agrotech Sdn. Bhd. telah menjalin kerjasama strategik bagi melaksanakan Projek Rintis lntegrasi Pertanian dan Perikanan. lnisiatif ini adalah salah satu tindakan yang diketengahkan oleh LADA semasa pelancaran Pelan Tindakan Pemulihan Ekonomi Langkawi, yang kini diberi nama Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG). Projek ini juga merupakan salah satu inisiatif di bawah TERAS – Kepelbagaian Ekonomi, Strategi Pembukaan Peluang Ekonomi Baru.

Projek Rintis lntegrasi Pertanian dan Perikanan di Ayer Hangat ini dilaksanakan untuk membantu sosioekonomi penduduk Langkawi yang terjejas pendapatannya akibat penularan wabak COVID-19. Selain itu, ia turut memberi peluang kepada penduduk Langkawi yang mempunyai minat untuk menceburi bidang penanaman cendawan. Secara tidak langsung, ia akan membantu mengurangkan beban ekonomi peserta yang menyertai program ini. Dalam sesi yang sama hari ini, dua (2) buah rumah cendawan akan diserahkan kepada komuniti Langkawi iaitu Kelab Anggerik Langkawi dan Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Kedah (Cawangan Langkawi). Tindakan ini selaras dengan usaha LADA dalam membantu komuniti yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Kerjasama strategik antara LADA dan DXN Agrotech Sdn. Bhd. bagi melaksanakan industri pertanian moden ini membawa faedah kepada komuniti Langkawi dalam aspek-aspek seperti berikut:

  • i. Menyediakan latihan kepada para peserta yang terpilih dalam program tanaman cendawan tiram;
  • ii. Mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk Langkawi;
  • iii. Membina dan mengusahakan 20 buah rumah cendawan tiram dan spesies cendawan lain;
  • iv. Membina dan mengusahakan dua (2) buah kolam ikan tilapia dan ketutu;
  • v. Membina dan mengusahakan dua (2) projek penanaman sayur­ sayuran hidroponik; dan
  • vi. Mewujudkan agropelancongan terbaru di Langkawi.

Selain itu, kerjasama ini juga akan memberi impak secara langsung kepada komuniti dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada 90 orang masyarakat tempatan. lni bermula pada fasa pertama dengan pengambilan pekerja seramai 40 orang di Ayer Hangat Village (AHV) serta 10 orang lagi di Kampung Cendawan. Sebanyak 40 peluang pekerjaan lagi akan ditawarkan dalam fasa kedua perusahaan Kampung Cendawan. Komuniti Langkawi dilihat dapat menjana pendapatan yang positif dan dijangka akan memperoleh pendapatan bersih sehingga RM2,400.00 sebulan bagi sebuah rumah cendawan.

Dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonomi dan pendapatan komuniti Langkawi, LADA yakin bahawa pewujudan industri agropelancongan di Langkawi dapat meningkatkan kesejahteraan ekonomi setempat. Seterusnya ia juga bakal mempelbagaikan sumber pendapatan masyarakat tanpa terus bergantung kepada industri pelancongan semata-mata yang berkemungkinan mengambil masa untuk stabil dalam tempoh terdekat ini akibat masalah global yang dicetuskan oleh wabak COVID-19.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
15 Julai 2020

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.