Langkawi, 17 Oktober 2021 – Program Insiatif Solar di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung adalah satu usaha sama strategik antara Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya GSPARX Sdn. Bhd. yang akan melakukan pemasangan sistem solar PV di bangunan-bangunan milik LADA bagi menurunkan kos bil elektrik. Di bawah inisiatif ini, sistem solar PV berkapasiti 363 kWp (kilowatt-puncak) dijangka akan dipasang di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung dan berpotensi untuk menjimatkan kos bil antara RM87,000 hingga RM244,000 setahun, bergantung kepada kaedah pembiayaan yang dipersetujui.

Sebagai tanda menunjukkan komitmen kesemua pihak yang terlibat, Majlis Penyerahan Surat Niat Pelaksanaan Inisiatif Solar di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi telah diadakan pada hari ini. Majlis ini juga menjadi simbol kepada sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menggalakkan pemasangan solar PV di bumbung bangunan-bangunan kerajaan.

Majlis disempurnakan dengan penyerahan surat tawaran daripada GSPARX Sdn. Bhd. kepada LADA dan penyerahan surat niat daripada LADA kepada GSPARX Sdn. Bhd. Penyerahan ini disaksikan oleh YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Malaysia.