Langkawi, 21 Mac 2022 – Bertemakan ‘Dedikasi Melakar Aspirasi’, Majlis Perhimpunan Bulanan telah berlangsung dalam suasana meriah di Auditorium LADA. Majlis anjuran Unit Khidmat Korporat (UKK) dan Bahagian Teknologi Maklumat (BTM) ini dihadiri oleh Keluarga LADA dan wakil pengurusan anak syarikat LADA iaitu Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB), Langsura Geopark Sdn. Bhd. (LGSB) dan Langkawi Port Sdn. Bhd. (LPSB). Majlis dimulakan dengan tayangan video buletin LADA sebelum diteruskan dengan segmen Sekapur Sirih. Segmen ini dikendalikan oleh Cik Nordiana Nordin dan Puan Amal Ibrahim yang telah mengimbau sepintas lalu bingkisan penubuhan LADA sehingga kini.

Kemuncak acara disempurnakan dengan ucaptama oleh YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA dan diikuti dengan gimik perasmian tayangan video 32 tahun LADA melakar pembangunan di Langkawi. Dalam ucapan beliau, YBrs. Tuan Nasaruddin turut menyampaikan amanat dan menyeru keluarga LADA untuk terus menabur bakti dan merencana pembangunan pelancongan di Langkawi.

Majlis perhimpunan ini bertambah meriah dengan nyanyian pasukan koir LADA dengan lagu ‘Standing In The Eyes of The World’ dan diakhiri dengan acara pemotongan kek sebagai acara simbolik meraikan 32 tahun penubuhan LADA.