Langkawi, 26 Mei 2022 – Majlis Perhimpunan Bulanan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) diteruskan lagi bagi bulan Mei 2022 bertempat di Auditorium LADA. Perhimpunan pada kali ini dianjurkan oleh Unit Audit Dalam (UAD) dengan tema ‘Demi Akad dan Keikhlasan Melaksana’ sempena sambutan Hari Pekerja dan Kesedaran Audit Dalaman Antarabangsa pada bulan Mei setiap tahun.

Majlis bermula sekitar jam 9.00 pagi dengan bacaan doa oleh Encik Mohd Suhairy bin Saidun serta disusuli dengan paparan Buletin LADA bagi acara, aktiviti dan program yang berlangsung sepanjang April 2022 yang lalu. Kemudian, majlis diteruskan dengan paparan video istimewa ‘Mitos dan Fakta Unit Audit Dalam’ yang telah disediakan oleh UAD. Menerusi video ini, peranan dan fungsi unit tersebut dalam membantu menilai keberkesanan semua proses kawalan dan tadbir urus LADA dapat disampaikan dengan jelas, menarik dan menghiburkan.

Menerusi ucapan Cik Johaniffa binti Jamil, Pengurus UAD, seluruh warga LADA dimohon untuk memberi sokongan dan kerjasama dalam memastikan agar pengauditan di peringkat jabatan dapat dilaksanakan secara sistematik, tepat dan mengikut standard yang telah ditetapkan. Majlis kemudian tiba pada acara kemuncak iaitu bacaan ikrar oleh seluruh warga LADA yang diketuai oleh Encik Muzaffar bin Zoher sebelum diteruskan dengan ucapan oleh YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA. Dalam ucapan tersebut, beliau menyeru seluruh warga LADA untuk memperkukuhkan solidariti dengan menjaga dan mempertahankan imej jabatan pada setiap masa.

Majlis perhimpunan ini kemudian diakhiri dengan persembahan nyanyian lagu berjudul ‘Hang Pi Mana’ oleh kumpulan koir LADA yang bertemakan ketelusan dalam pekerjaan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap individu.