Langkawi, 22 Julai 2023 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Malaysia Airport Berhad (MAB) telah mengadakan Sambutan Ketibaan Penerbangan Sulung Batik Air daripada Chengdu, China ke Langkawi.

Penerbangan sewa khas (chartered flight) ini menggunakan pesawat jenis Boeing 737 dimiliki syarikat Batik Air dengan kapasiti penumpang sebanyak 180 tempat duduk, melibatkan 10 siri penerbangan masuk sehingga Oktober tahun ini. Dianggarkan seramai 1,800 pelancongan akan tiba di Pulau Langkawi melalui penerbangan sewa khas ini. Insentif ini merupakan kerjasama pintar LADA bersama Tourism Malaysia, Syarikat Batik Air serta Syarikat Sichuan Global Travel Service, China.

Turut hadir memeriahkan sambutan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA iaitu Tuan Wan Kamarul Faisal Bin Wan Kamardin dan juga En. Manoharan Periasamy, Pengarah Kanan, Bahagian Promosi Antarabangsa Asia/Afrika selain pegawai dan kakitangan daripada LADA, Tourism Malaysia, MAB dan Batik Air.

LADA berharap, penerbangan ini dapat menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke Langkawi dan juga menarik lebih banyak penerbangan terus ke Langkawi.