“Langkawi bersedia menerima kedatangan pelancong apabila pulau peranginan ini dibuka semula di bawah program gelembung pelancongan mulai 16 September ini,” kata Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.

Menyokong kenyataan YAB Perdana Menteri pada 2 September 2021 berkenaan pemilihan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan, LADA menganjurkan Pembersihan Awam Sempena Pembukaan Semula Pelancongan Langkawi (Cuci-Cuci Langkawi) bertempat di sekitar Pantai Chenang. Program ini secara simboliknya menzahirkan kesediaan Langkawi untuk menerima pelancong semula sebagaimana yang telah diumumkan oleh YAB Menteri Besar Kedah pada 31 Ogos yang lalu.

Sejak dua minggu lepas, MPLBP telah giat menjalankan pembersihan di kawasan tumpuan awam manakala LADA sendiri telah mengadakan sebanyak 36 siri pembersihan awam dengan memberi tumpuan sekitar tapak geosite. Program ini diadakan untuk memupuk semangat toleransi dan permuafakatan, di samping melahirkan rasa cinta terhadap kebersihan dan nilai kerjasama dalam komuniti pelancongan di Langkawi. Dalam pada itu, usaha ini turut membantu memastikan kawasan tumpuan pelancong sentiasa bersih dan terpelihara daripada pencemaran.

Antara agensi dan jabatan lain yang turut menjayakan program ini termasuklah Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kebersihan Awam (SWCorp), Jabatan Penerangan Daerah Langkawi, Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, PDRM, Markas Wilayah Laut 3 (MAWILA) dan NGO tempatan seperti Malaysian Association of Hotels (MAH), Langkawi Business Association (LBA) serta Trash Hero.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA turut mengulas bahawa seramai 120 orang sukarelawan telah terlibat dalam program ini. Pembersihan ini dibahagikan kepada tiga zon utama dengan penglibatan 40 orang setiap zon iaitu Zon A: Premis Perniagaan di Chenang, Zon B: Kawasan Pesisir Pantai Chenang dan Zon C: Jalan Pantai Chenang (persimpangan Laman Padi hingga Aseania Resort & Spa Langkawi). Inisiatif sebegini akan diteruskan bagi memastikan kemampanan pembangunan Langkawi dapat dipelihara bertepatan dengan pengiktirafan pulau tersebut sebagai Langkawi UNESCO Global Geopark.

LADA juga telah memenangi anugerah dalam Pacific Asia Travel Association (PATA) Gold Awards 2021 bagi kategori ‘Heritage Article’ yang bertajuk ‘The Diverse Heritage of Kubang Badak Biogeotrail’ pada 8 September 2021.

Program Cuci-Cuci Langkawi ini dilaksanakan setelah mendapat khidmat nasihat berkaitan langkah pencegahan penularan COVID-19 daripada Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi. Pihak berkuasa tempatan terlibat secara langsung bagi memastikan pelaksanaan program mematuhi SOP yang berkuat kuasa.