Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menyalurkan bantuan perniagaan kepada dua orang usahawan Langkawi iaitu Puan Solehah binti Hashim dan Puan Fatin Nur Ajerah binti Ahmad Suzi. Penyerahan bantuan perniagaan ini telah disempurnakan oleh Cik Waffa Wahida binti Zainol, Pengurus, Bahagian Pelaburan dan Pemudahcara Perniagaan, LADA. Bantuan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Peluang Ekonomi Baru di bawah Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi dalam membantu usahawan yang terkesan dengan wabak COVID-19.

Puan Fatin Nur Ajerah binti Ahmad Suzi telah mengusahakan perniagaan burger. Selain daripada menjalankan perniagaan di kiosk, beliau turut mengembangkan perniagaan ini dengan mengadakan perkhidmatan cash on delivery di sekitar kawasan berhampiran. Pihak LADA telah memberi bantuan iaitu pembelian freezer dan signboard perniagaan. Dengan adanya bantuan daripada LADA ini telah memudahkan penyimpanan stok barang basah dan memudahkan urusan perniagaan harian.

Pihak LADA juga telah memberi bantuan kepada Puan Solehah binti Hashim yang mengusahakan perniagaan makanan dan minuman. Bagi meningkatkan hasil pendapatan beliau, pihak LADA telah memberi bantuan iaitu pembelian peti ais bersaiz besar dan mesin ice blended. Dengan adanya bantuan daripada LADA ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan dalam perniagaan beliau.

Diharapkan bantuan yang disalurkan ini dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan untuk terus maju dan meningkatkan produktiviti pengeluaran produk kedua-dua usahawan ini.