Langkawi, 12 Mac 2023 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melalui Unit Khidmat Korporat (UKK) dengan kerjasama Unit Latihan dan Kompetensi (ULK), Bahagian Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan (BSMKP), Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) LADA dan Langkawi Woman Association (LAWA) telah menganjurkan Program Bual Bicara 2023 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun LADA Ke-33.

Program ini dijalankan dalam dua sesi iaitu dengan tajuk “Penipuan Terancang atau Kita Senang Tertipu” dan “Scam! Harapan Bertukar Kehampaan” yang telah disampaikan oleh YBrs. Tuan ASP Rahmat Fitri bin Abdullah. Seramai 350 orang peserta telah menghadiri program ini yang terdiri daripada komuniti Langkawi selain turut disertai pelbagai agensi kerajaan di sekitar Langkawi termasuk kakitangan LADA.

Program Bual Bicara ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan informasi kepada komuniti Langkawi bagi meningkatkan kesedaran tentang ancaman-ancaman dan jenayah siber yang semakin berleluasa di Malaysia kini. Selain itu, Program Bual Bicara ini merupakan salah satu kaedah dalam membina hubungan dan mendekatkan LADA bersama komuniti di Pulau Langkawi.

#LADAdanKomuniti
#pembangunankomuniti
#komunitisejahtera