Langkawi, 29 April 2021 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Langsura Geopark Sdn. Bhd. menganjurkan Program Jelajah Ramadan 2021 (Siri 2) di Masjid Raudhatul Khudra’, Pasir Hitam.

Objektif program ini adalah untuk menyantuni dan berkongsi rezeki dengan golongan asnaf di sekitar Langkawi. Sebanyak 30 buah keluarga telah dikenal pasti oleh jawatankuasa masjid untuk menerima sumbangan berbentuk wang tunai bernilai RM100.00 dan barangan keperluan bernilai RM50.00 bagi setiap keluarga yang mana sumbangan ini disampaikan oleh Tuan Haji Rohaizad Bin Rashid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA dan Encik Ahmad Adam bin Ahmad Fuaad, Pengurus Besar, Langsura Geopark Sdn. Bhd. Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Tuan Haji Juhari Bulat, ADUN Air Hangat merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri.

Selain daripada itu, pihak LADA turut menyumbangkan peruntukan sebanyak RM4,000.00 bagi menganjurkan program berbuka puasa di masjid ini. Sumbangan ini disalurkan dengan kaedah turun padang bagi mengeratkan ukhwah antara LADA, anak syarikat LADA bersama komuniti setempat.

Pihak LADA akan terus berusaha mempelbagaikan inisiatif bagi membantu komuniti Langkawi dari sudut sosio ekonomi melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan pembangunan komuniti demi kesejahteraan masyarakat Langkawi.

#PatuhiSOP
#Komunitisejahtera
#Kitajagalangkawi