Langkawi, 18 Julai 2023 – LADA telah mengadakan Sesi Kaji Selidik Pasca dan Majlis Apresiasi Sekretariat Infrastruktur dan Kebersihan sempena LIMA 2023 bertempat di Rumah Makan Jebat, Kuala Sungai Melaka, Langkawi.

Jemputan terdiri daripada ketua dan wakil Jabatan Kerajaan serta agensi korporat yang telah bertungkus-lumus memberikan komitmen yang tinggi sepanjang berlangsungnya LIMA 2023 yang lalu.

Sesi Kaji Selidik Pasca turut diadakan bagi merumuskan pencapaian keseluruhan penganjuran LIMA 2023. Antara aspek yang diketengahkan adalah berkenaan pengurusan tempat, pengurusan utiliti, pengurusan LIMA oleh penganjur, penurunan bahan promosi, kesihatan dan kebersihan serta harga makanan.

Majlis disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Ahmad Fuad bin Che Ani @ Abd Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA. Beliau telah menyampaikan ucapan aluan seterusnya diakhiri dengan agenda penyampaian sijil penghargaan kepada Ketua Jabatan dan agensi korporat yang hadir.

Terima kasih diucapkan kepada seluruh Jabatan Kerajaan dan semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam penganjuran LIMA 2023 yang lalu.