LADA telah mengadakan Sesi Perjumpaan Pemain Industri Pelancongan Langkawi Bil.4/2023 pada 16 Ogos 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 8, Kompleks LADA. Sesi ini bertujuan untuk membincangkan isu-isu semasa di Pulau Langkawi berkaitan industri pelancongan. Selain itu, sesi ini juga dijadikan platform bagi pemain-pemain industri memberi dan melontarkan pendapat atau cadangan penambahbaikan bagi setiap isu yang dibangkitkan.

Sesi kali ini, LADA telah menjemput wakil daripada produk-produk pelancongan di Langkawi serta Pejabat Daerah Langkawi. Antara wakil produk pelancongan Langkawi yang hadir adalah MAHA Tower, Koperasi Kilim, Underwater World Langkawi, Morac, Splash Out, Crocodile Adventure Land, Dream Forest, Kota Mahsuri, Langkawi Marine Park dan Langkawi Adventure & Xtreme Park. Sesi ini juga turut dihadiri oleh MATTA Kedah/Perlis Chapter dan anak Syarikat LADA, Panorama Langkawi Sdn Bhd dan Langsura Geopark Sdn Bhd.

Antara isu-isu yang dibangkitkan bagi sesi kali ini adalah harga tiket kapal terbang masih mahal walaupun permintaan masih meningkat, slot tempahan tiket feri untuk 6 bulan ke hadapan masih belum dibuka di dalam sistem, produk baru di Langkawi yang masih belum dikenali oleh pelancong, jadual kutipan sampah di sekitar Pulau Langkawi, permohonan pengecualian cukai hiburan di Pulau Langkawi serta permohonan membantu perusahaan minyak gamat sebagai produk keluaran tempatan Langkawi.

Sesi seperti ini membantu LADA untuk mengenalpasti permasalahan yang sering dihadapi oleh pemain industri di Pulau Langkawi. Justeru, LADA merancang untuk mengadakan sesi seterusnya pada bulan September 2023.