LANGKAWI : 20 JUN 2020 Selepas 94 hari operasi Langkawi SkyCab ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 yang lalu, Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB) mengumumkan operasi Langkawi SkyCab kini dibuka semula secara rasmi kepada para pengunjung mulai hari ini.
Pembukaan semula operasi Langkawi SkyCab ini juga merupakan salah satu inisiatif yang telah ditetapkan di dalam Pelan Tindakan Pemulihan Ekonomi Langkawi. Ianyanya sekaligus menunjukkan LADA dan anak syarikat PLSB telah memulakan langkah ke arah pemulihan ekonomi Langkawi melalui pelaksanaan di bawah Strategi Pembukaan Semula Langkawi. LADA juga yakin dengan pembukaan semula ikonik ini, mampu mengembalikan semula kerancakan industri pelancongan Langkawi seterusnya memanfaatkan semua lapisan masyarakat di Langkawi.
Bagi memastikan operasi Langkawi SkyCab berjalan lancar selaras dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), PLSB telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP). Ianya bertindak sebagai kawalan kepada keselamatan dan kesihatan bagi memastikan para pengunjung dapat menikmati percutian bersama keluarga dengan lebih yakin dan selesa.
Sempena pembukaan semula operasi Langkawi SkyCab, para pengunjung boleh menikmati promosi We R Back yang merangkumi 5 produk dalam 1 harga menarik. Promosi istimewa ini ditawarkan kepada para pengunjung mulai 20 Jun 2020 sehingga 31 Julai 2020.
LADA dan pihak kerajaan meletakkan harapan yang tinggi agar industri pelancongan Langkawi dapat berkembang semula dan mengembalikan peluang-peluang pekerjaan di Langkawi. Usaha murni semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak swasta, pemain industri serta komuniti Langkawi harus diteruskan demi kesejahteraan Langkawi secara amnya.