Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Usahanita Daerah Langkawi telah menganjurkan Pertandingan Hiasan Pulut Kuning & Mocktail dan Pertandingan Kerabu & Minuman Detox sempena Hari Kreativiti Usahawan yang telah diadakan di Laman Padi, Pantai Cenang Langkawi. Pertandingan ini telah disertai oleh 14 kumpulan bagi kedua-dua kategori dan telah dirasmikan oleh Tuan Wan Kamarul Faisal bin Wan Kamardin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA (Perancangan & Pembangunan).

Pertandingan ini telah diadili oleh barisan juri profesional iaitu Chef Zainudin bin Daud, Chef Eksekutif daripada Pelangi Beach Resort & Spa, En. Ahmad Ikhwan Fitri bin Arefin dan Puan Wan Nordiana binti Wan Mohd daripada Langkawi Tourism Academy (LTA) serta Puan Mahsuri binti Abdul Latif daripada Pejabat KEMAS Langkawi.

Kumpulan Sentuhan Azie Legend telah berjaya memenangi hadiah pertama Pertandingan Hiasan Pulut Kuning & Mocktail dengan hasil kreativiti yang ditonjolkan dan membawa wang tunai sebanyak RM250.00 serta barangan makanan. Manakala Pertandingan Penyediaan Kerabu & Minuman Detox telah dimenangi oleh kumpulan Dee Mummy Gojes dengan hadiah wang tunai sebanyak RM150.00 beserta barangan makanan. Manakala kategori Persembahan Kumpulan Terbaik telah dimenangi oleh Kumpulan Samudera dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Langkawi dan Persembahan Kerjasama Berkumpulan dimenangi oleh kumpulan Till Jannah. Masing-masing telah membawa pulang hamper berupa barangan makanan.

Setiap kumpulan telah menonjolkan kepakaran yang tersendiri dalam menghias pulut kuning dan menyediakan kerabu agar menarik hati para juri. Markah diadili bukan hanya melihat rupa malah tekstur dan rasa juga diambil kira. Selain itu, persembahan makanan turut mengambil kira di mana makanan perlu bersih, menarik dan praktikal. Ternyata semua kumpulan mempunyai kreativiti yang tersendiri.

Hubungan dan kerjasama yang erat di antara LADA bersama Usahanita, usahawan serta agensi Kerajaan di Langkawi telah berjaya merealisasikan program ini yang julung kali diadakan. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.