Langkawi, 13 Oktober 2021 – Dataran Lang hari ini dimeriahkan dengan penganjuran Program Santai LADA Bersama Komuniti yang telah disempurnakan oleh Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Program dimulakan dengan Sesi Penyerahan Bantuan Projek Ekonomi Baru, Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi atau PEB HELANG kepada Syarikat TapawFood Services. Mewakili 50 orang penerima bantuan daripada syarikat tersebut ialah Encik Zabel Iqbal bin Zainon, ‘founder’ merangkap Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan.

“Genap setahun syarikat ini beroperasi, TapawFood telah mula menawarkan khidmat penghantaran baru iaitu barangan runcit. Buat masa ini kami telah menjalinkan kerjasama dengan empat perusahaan runcit utama di sekitar Langkawi iaitu Teow Soon Huat Duty Free, Pasar Raya Kedawang, BHK Duty Free dan PL Soon Huat. Akan datang iaitu mulai November 2021, TapawFood juga akan memulakan kerjasama dengan Pasar Raya Borong KH Nizam,” ulas Zabel Iqbal.

Sejak mula beroperasi pada Ogos 2020, TapawFood telah berjaya menjana keuntungan sebanyak RM1.5 juta melalui 10,300 orang pengguna berdaftar, 193 orang vendor dan 20 orang rider aktif.

Nasaruddin berkata, “Bagi memberi suntikan semangat dan dorongan kepada syarikat ini untuk lebih maju jaya kelak, LADA telah menyumbangkan bantuan berjumlah RM16,290.00 dalam bentuk 10 unit Smart Android Mobile POS Terminal, 20 pasang uniform rasmi dan 10 buah kotak penghantaran (delivery box) untuk kegunaan penghantar makanan Syarikat TapawFood. Satu billboard untuk mempromosi syarikat ini juga telah dipasang mulai September yang lalu untuk tempoh enam bulan sehingga Mac 2022.”

Sementara itu, turut berlangsung dalam Program Santai LADA Bersama Komuniti tersebut ialah Sesi Penyerahan Surat Kelulusan Projek Kecil Komuniti Fasa 2 2021 kepada tujuh orang wakil komuniti Langkawi. Projek-projek ini dilaksanakan di bawah teras Infrastruktur Kecil, Pelan Strategik Pembangunan Komuniti LADA yang merangkumi kerja-kerja penyelenggaraan, baik pulih, dan bekalan peralatan bagi aspek kemudahan awam, ekonomi, keagamaan, dan pendidikan setempat. Kos keseluruhan bagi pelaksanaan tujuh projek kecil komuniti yang telah diluluskan untuk fasa kedua tahun 2021 ini ialah RM130,500.

#LangkawiBangkit
#LADAdanKomunitiLangkawi
#TapawFood