September ini sektor pelancongan di Pulau Langkawi bakal dibuka dan kita akan mula menerima kehadiran pelancong. Persoalannya, bersediakah kita mewujudkan suasana pelancongan yang selamat dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan?

Justeru, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah merancang satu pelan tindakan yang bersifat menyeluruh dan holistik bagi menyambut pembukaan semula pulau pelancongan ini kepada umum. Pelan ini dinamakan Langkawi Tourism Recovery Plan (T-REC) dan telah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LADA pada 29 Jun 2021.

Bagi menyokong pelan T-REC ini, satu program pensijilan sukarela iaitu MySAFE Langkawi telah diperkenalkan. Pensijilan MySAFE Langkawi memberi peluang kepada segmen perniagaan tertentu (penginapan, makanan dan minuman (F&B), peruncitan serta agensi pelancongan) yang dibenarkan beroperasi semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk diperakukan sebagai mematuhi SOP COVID-19 dan protokol kesihatan umum yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

Untuk itu, satu kursus wajib yang menyokong ke arah proses pensijilan MySAFE Langkawi ini akan diadakan secara berperingkat. Kursus wajib yang dinamakan sebagai Kursus COVID-19 Education and Risk Assessment (CERIA) perlu disertai oleh individu berdasarkan segmen perniagaan masing-masing. Kursus CERIA ini akan dilaksanakan oleh Langkawi Tourism Academy@Kolej Komuniti Langkawi dengan bantuan tenaga pengajar dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah.