Langkawi, 15 Mac 2023 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Institut Kemahiran MARA Alor Setar (IKM) telah mengadakan Kursus Rancangan Perniagaan bertempat di Ruang Daya Cipta, Kompleks LADA. Kursus yang diadakan selama tiga hari bermula pada 13-15 Mac 2023 telah dibantu oleh tenaga pengajar dari IKM iaitu Tuan Haji Rizham bin Ibni, Puan Eida Rahayu binti Razak dan En. Mohd. Farid bin Musa. Kursus ini telah dirasmikan oleh Cik Waffa Wahida binti Zainol, Pengurus Bahagian Pelaburan dan Pemudahcara Perniagaan.

Kursus ini telah disertai oleh 14 orang usahawan Langkawi. Mereka telah diberi pendedahan berkaitan penyediaan rancangan perniagaan yang lebih bersistematik dan efektif serta merancang pengurusan pentadbiran, pemasaran, operasi dan kewangan perniagaan. Melalui kursus ini juga para usahawan telah diberi bimbingan berkaitan penilaian dalam perniagaan dengan lebih terperinci dan berpotensi untuk dilaksanakan selain mendapat maklumat mengenai bantuan perniagaan yang disediakan oleh badan kerajaan berkaitan usahawan.

Pihak LADA sentiasa prihatin dalam membantu para usahawan tempatan untuk menambah ilmu dalam perniagaan seterusnya dapat meningkatkan sumber pendapatan. Semoga ilmu yang disampaikan ini dapat memberi manfaat kepada semua usahawan untuk terus maju ke hadapan dan terus berdaya saing.

#kitajagalangkawi
#jomtambahilmu
#lada&usahawanlangkawi
#demilangkawi
#UsahawanLangkawi
#LADA