Langkawi, 01 Februari 2023 – YBrs. Tuan Haji Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah berkesempatan mengadakan lawatan ke ladang tanaman Hami Melon yang telah diusahakan oleh usahawan tani muda iaitu En. Firdaus bin Jamaludin. Ladang ini merupakan kerjasama antara LADA-PLSB yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Projek Ekonomi Baru (PEB) Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG) bagi memperkasakan sektor ekonomi baru dan komuniti yang terkesan pandemik COVID-19 di Langkawi.

Tanaman Hami Melon ini menggunakan kaedah fertigasi iaitu tanaman moden tanpa menggunakan tanah sebagai medium sebaliknya menggunakan polibag yang berisi sabut kelapa dalam rumah hijau dan mampu menampung sebanyak 700 pokok bagi setiap kali tanaman dibuat. Tempoh matang pokok Hami Melon sebelum dituai adalah 75 hari dengan berat purata dapat mencecah sehingga 4 kilogram bagi sebiji buah.

Tanaman ini berpotensi untuk dibangunkan sebagai tarikan agro-pelancongan di Langkawi dengan memberi peluang kepada penduduk setempat atau pelancong untuk merasai sendiri pengalaman memetik buah Hami Melon segar dari ladang.

Sambutan daripada Langkawi amat menggalakkan dan diharapkan pasaran Hami Melon dapat diperluaskan dan promosi akan dijalankan dari semasa ke semasa. LADA merakamkan tahniah kepada En. Firdaus di atas usaha dan kejayaan yang dicapai setakat ini dan diharapkan projek pertanian beliau akan lebih maju di masa hadapan. Semoga sektor pertanian dan agro-pelancongan di Langkawi dapat dikembangkan lagi demi manfaat ekonomi kepada penduduk Langkawi.

#lada&usahawanlangkawi
#ladaprihatin
#bantuusahawanlangkawi