Langkawi, 15 Ogos 2020 – Pemulihan ekonomi Langkawi merupakan fokus utama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada masa ini. Susulan kemerosotan ekonomi dunia akibat penularan wabak COVID- 19, Langkawi yang mempunyai kebergantungan tinggi kepada sektor pelancongan iaitu pada kadar 70 peratus turut menerima kesan yang besar. Bagi mengelakkan industri pelancongan Langkawi lumpuh, LADA berusaha untuk mengembalikan kerancakan ekonomi pelancongan Langkawi dengan memperkenalkan inisiatif pelancongan di bawah Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG).

HELANG mempunyai tiga (3) teras, 10 strategi dan 30 draf tindakan. Tiga (3) daripada strategi-strategi utama tersebut adalah melibatkan sektor pelancongan Langkawi. Berikut adalah strategi yang dimaksudkan:

  • 1. Menjenamakan semula Langkawi sebagai destinasi yang selamat, bersih dan lestari;
  • 2. Mempromosikan pelancongan secara berfokus; dan
  • 3. Pembukaan semula Langkawi sebagai destinasi pelancongan.

Pada hari ini, pelancaran inisiatif pelancongan di bawah pelan ini disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Majlis pelancaran ini diadakan untuk mengetengahkan inisiatif pelancongan, seterusnya mempromosikan usaha-usaha pemulihan ekonomi Langkawi dengan lebih berkesan. Terdapat empat (4) inisiatif yang dilancarkan seperti maklumat di bawah:

Langkawi Great Sale (LGS)

  • i. Langkawi Great Sale merupakan program di bawah inisiatif untuk menjenamakan Langkawi sebagai destinasi yang bersih, selamat dan lestari. Program ini bertujuan mempromosikan Langkawi yang terjejas akibat wabak COVID-19. Program ini akan dilaksanakan bermula 1 September 2020 hingga 31 Disember 2020. Majlis Pelancaran LGS pula akan diadakan pada 29 Ogos 2020 di Bangsar Village, Kuala Lumpur. Penganjuran program ini amat menitikberatkan penglibatan semua pemain industri pelancongan Langkawi yang terdiri daripada pengusaha produk pelancongan, pengusaha hotel, ejen pelancongan, pemandu pelancong serta pengusaha kedai bebas cukai.
  • ii. Empat pakej utama akan ditawarkan dengan potongan harga yang istimewa kepada pelancong domestik iaitu Honeymoon Package, Family Package, Group Package (Leisure) dan Group Package (MICE). Pakej yang ditawarkan ini merangkumi penginapan, kenderaan, lawatan ke produk pelancongan serta pemberian baucar pembelian di produk­produk pelancongan yang terpilih.

Langkawi Travel Fair (LTF)

  • i. lnisiatif ini merupakan salah satu tindakan utama post-COVID bagi meningkatkan kemasukan pelancong domestik ke Langkawi sekali gus menjana semula ekonomi pemain industri serta penduduk Langkawi.
  • ii. Program LTF ini dijadualkan berlangsung dalam empat (4) siri iaitu seperti maklumat di bawah:
  • a. Sunway Pyramid Mall dari 21 hingga 23 Ogos 2020;
  • b. Kelab Tasik Putrajaya (networking session) pada 24 Ogos 2020;
  • c. IOI City Mall Putrajaya dari 4 hingga 6 September 2020; dan
  • d. Pulau Pinang pada bulan September 2020.

Legendary Trails

7 Rentis Legenda Langkawi atau dipanggil 7 Legendary Trails diwujudkan untuk memberi peluang kepada pelancong melancong di Pulau Langkawi mengikut rentis yang bersesuaian dengan kehendak pelancong. Tujuh (7) rentis yang dimaksudkan ialah Geo Trail, Eco Trail, Adventure Trail, Culture & Heritage Trail, Duty-Free Shopping Trail, Leisure & Learning Trail dan Food Trail. Inisiatif baru ini bakal menarik lebih ramai pengunjung untuk merasai dan menikmati kepelbagaian pengalaman pelancongan di Langkawi.

Kuah Down Memory Lane Trail/Guidebook

  • i. Kuah Down Memory Lane Trail merupakan satu aktiviti lawatan bersama pemandu pelancong untuk menyusuri dan mengimbau sejarah serta budaya masyarakat di Langkawi terutamanya di sekitar Kuah. Produk pelancongan terbaru ini akan menawarkan pengalaman yang berbeza kepada pelancong dan seterusnya memberikan nilai tambah kepada Langkawi. Produk ini juga merupakan produk pelancongan baru yang diperkenalkan oleh Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi (LTGA) dengan kerjasama LADA.
  • ii. Pengunjung akan memulakan pengembaraan dari pintu gerbang The Westin Langkawi Resort and SPA dan berakhir di Laman Mar Mar dengan menyelami penceritaan kisah yang terperinci daripada pemandu pelancong. Perjalanan rentis ini akan melewati beberapa lokasi bersejarah seperti Jalan Pantai Dato’ Syed Omar, Jeti Kuah, Dataran Lang, Taman Legenda, The Old Sanatorium, Taman CHOGM, Padang Kelana FC, Masjid Al-Hana, Pekan Lama Kuah dan Sungai Kuah. Jarak rentis bagi keseluruhan lawatan ini akan mengambil masa kira-kira dua (2) jam dengan jarak keseluruhan sepanjang 1.5 km.

Pada awal pengumuman HELANG 31 Mei 2020 yang lalu, terdapat beberapa tindakan (quick win) telah disempurnakan di bawah strategi penjenamaan Langkawi iaitu Program Retraining and Upskilling of Langkawi Tourism Frontliners. Program ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Langkawi Tourism Academy (LTA) dari 5 hingga 17 Julai 2020.

Program ini telah memanfaatkan 80 orang tourism frontliners dengan matlamat meningkatkan kemahiran seterusnya mempelbagaikan kebolehan pemain industri serta mengurangkan kebergantungan mereka terhadap industri pelancongan

LADA berharap strategi-strategi serta tindakan yang telah dirangka dan dilancarkan pada kali ini bukan sahaja mampu mengembalikan pendapatan pelancongan di Langkawi malah menjadikan Langkawi lebih kukuh dan berdaya tahan dalam mengharungi fasa pemulihan ekonomi yang masih tidak menentu. Penglibatan semua agensi kerajaan, pihak swasta, pemain industri, NGO dan komuniti setempat adalah tunjang utama bagi menghidupkan semula ekonomi pulau ini.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
15 Julai 2020

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.